Jangan lokek untuk promosi

Dilema pembikin filem berlaku lagi apabila sambutan untuk filem Jibam agak sepi. Skrip yang bagus dan lakonan hebat belum pasti menjamin menarik penonton ke panggung.

Situasi ini harus ditelan pembikin filem yang berusaha menghasilkan filem realiti mengenai kehidupan masyarakat terpinggir tetapi sambutannya juga agak terpinggir.

Jibam yang mula ditayangkan di pawagam 7 Disember lalu nyaris ditendang keluar selepas tujuh hari tayangan. Ada panggung yang membatalkan tayangan saat akhir walaupun ada penonton membeli tiket.

Nasib menimpa Jibam mendapat perhatian ramai penggiat seni dan ramai yang tampil memberi sokongan dengan berkongsi pandangan dalam laman sosial.

Akhirnya pawagam bersetuju meneruskan tayangan untuk seminggu lagi tetapi jumlah panggung sedikit, hanya 16 berbanding 83 sebelumnya.

Sudahlah kisah masyarakat kurang mendapat perhatian umum, Jibam pula berdepan filem hebat Hollywood, Star Wars: The Last Jedi yang ditayangkan pada 14 Disember.

Keghairahan penonton menantikan tayangan Star Wars menyebabkan pemilik panggung mahu memberi laluan seluas-luasnya kepada filem hebat Hollywood itu. Begitulah nasib filem Melayu di negara sendiri.

Sebelum ini nasib serupa dialami filem Redha dan Adiwiraku yang hanya ditayangkan selama seminggu. Filem Bisik Pada Langit yang mendapat pujian melangit serta promosi dari mulut ke mulut juga kutipannya tidaklah besar.

Mungkin dengan promosi besar-besaran banyak membantu Bisik Pada Langit yang meraih kutipan RM3.5 juta, selain barisan pelakonnya.

Berbeza dengan Jibam, kurang promosi dan barisan pelakon pun kurang memanggil orang ke panggung.

Apakah pilihan yang ada pada pembikin filem kita? Berlumba-lumba menghasilkan filem mengenai gengster, lumba motor atau lumba kereta yang terbukti lebih menarik minat penonton?

Jibam adalah adaptasi novel ditulis kartunis Ujang atau Ibrahim Anon yang popular sekitar 1980-an dan 90-an. Ia mengisahkan kanak-kanak autistik, Asyraf atau Jibam, dan memaparkan kehidupan serta keistimewaannya termasuk menyembuhkan penyakit di sebalik pandangan sepi masyarakat terhadapnya.

Komen daripada mereka yang menonton filem arahan Che Mie ini keseluruhannya memuji kerana pengarah berjaya mengadun filem ini secukupnya. Ada elemen lucu dan sedih menjadikan filem ini cukup perisa sebagai karya kekeluargaan yang menarik untuk ditonton.

Persembahan Buntat atau Mohd Ariff Abdullah sebagai Jibam mencuti hati apabila berjaya menjiwai watak Jibam dengan baik sekali.

Filem Tombirua: Penunggu Rimba juga adaptasi novel, mendapat sambutan dengan kutipan RM8 juta lepas empat minggu tayangan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei sejak 12 Oktober lalu.

Satu perkara sangat penting yang harus diambil kira produser dan pengarah ialah pentingnya promosi. Bukan hanya skrip yang bagus, barisan pelakon hebat, pengarah serta pengarah fotografi yang bagus, malah promosi besar-besaran.

Ketika awal lagi seharusnya diperuntukkan bajet tertentu untuk promosi. Bukannya apabila filem siap, promosi ala kadar dengan alasan tiada bajet.
Jangan lokek untuk promosi Jangan lokek untuk promosi  Reviewed by Kakigosip on 11:14:00 Rating: 5
Powered by Blogger.