Jadi teladan pelajar FiTA

Lakonan bukan sahaja satu cabang seni tetap juga sebahagian kerjaya yang mampu menjadi teladan buat generasi muda.

Itulah ditunjukkan oleh pelakon dan pengacara, Yana Samsudin yang menjadi seorang daripada 20 penerima Anugerah Ikon FiTA pada malam Anugerah KaryaOne 2017 anjuran Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berlangsung baru-baru ini.

“Penilaian itu mungkin berdasarkan pembabitan saya dalam industri. Sedikit sebanyak, mungkin anugerah ini boleh menjadi teladan buat pelajar FiTA untuk lebih berusaha sebelum melang­kah masuk ke dunia seni,” katanya.

Yana berkata, dia ingin membuktikan sebagai alumni FiTA, dia mampu mengembangkan kerjaya­nya.

“Tak semestinya kita akan bekerja dalam bidang berkaitan jurusan yang kita pelajari. Jadi, bila melang­kah ke dalam industri, kita boleh kembangkan kerjaya dalam apa juga cabang seni,” katanya.



Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Seni Layar), Yana berterima kasih kepada pihak fakulti yang sentiasa mengambil berat alumni.

“Mereka sentiasa memerhati pencapaian setiap alumni. Jadi, saya berterima kasih kerana menjadi antara yang menempa kejayaan dalam industri,” katanya.

Ditanya mengenai sumbangannya kepada fakulti, Yana berkata, syarikat produksinya sentiasa terbuka untuk menerima pelajar yang ingin menjalani latihan industri.

“Sebelum ini, ramai juga pelajar dari institusi pengajian tinggi melakukan latihan industri di syarikat saya. Tapi, tak ramai daripada UiTM.

“Saya sentiasa terbuka untuk menerima junior sekiranya mereka ingin melakukan latihan industri. Bolehlah saya kongsi pengalaman dan ilmu yang pernah dipelajari sebelum ini,” katanya.

Penganjuran Anugerah KaryaOne 2017 yang diadakan selepas 20 tahun kewujudan FiTA membuat­kan Yana kagum dengan kemampuan pelajar hari ini.

“Waktu saya belajar dulu, kalau majlis anugerah sebegini kami hanya adakan di dewan makan di kampus. Pelajar sekarang bertuah kerana disediakan ruang dan pelbagai kemudahan.

“Apa yang boleh saya katakan, acara ini berlangsung dengan gilang-gemilang dan produksinya berkualiti,” katanya.

Perkembangan terkini kariernya, Yana kini rancak mengacarakan beberapa program TV antaranya Bismillah Ad-Dhuha untuk Astro Oasis dan Wow Shop untuk TV3.
Jadi teladan pelajar FiTA Jadi teladan pelajar FiTA Reviewed by Kakigosip on 11:26:00 Rating: 5
Powered by Blogger.