Intan Azlina Aris jadi jurusolek profesional

MINAT terhadap bidang solekan menjadikannya tidak berkira dengan bayaran yang diterima.

Intan Azlina Aris juga sanggup menerima bayaran murah ketika memulakan kerjayanya sebagai jurusolek pada 1989.

Baginya, bayaran bukan soal utama sebaliknya pengalaman yang bakal diperoleh.



Bermula sebagai jurusolek dan penggaya rambut di sebuah salun kecantikan dengan gaji permulaan RM250 sebulan.

“Saya ni memang suka melaram sejak kecil, sebab tu minat saya. Jadi, saya tak kisah dengan jumlah gajinya,” katanya kepada Sinar Harian.


Tanpa disangka, rezeki anak kelahiran Kuala Kubu Bharu ini terbuka luas apabila dipelawa untuk terbabit sama dalam penggambaran filem dan drama.

“Jujurnya, saya tak tahu pula salun itu rupa-rupanya tawar perkhidmatan jurusolek kepada produksi penggambaran.

"Saya pula jenis kuat bekerja dan tak kira penat. Mungkin sebab itu, produser pun selesa dengan saya dan berpuas hati cara kerja saya, menyebabkan saya kerap dipanggil. Alhamdulillah, mungkin ini rezeki saya,” katanya.

Malah, wanita berusia 54 tahun ini bukan sahaja bertindak sebagai jurusolek profesional tetapi juga diberi kepercayaan untuk membuat solekan kesan khas.


“Bila bercakap mengenai solekan ada dua jenis, yang biasa dan kesan khas.

“Tapi, untuk kesan khas ia sebenarnya bergantung pada daya kreatif selain perlu bijak ‘menghidupkan’ sesuatu karakter,” katanya.

Perlu buat kajian

Pun begitu, katanya, jurusolek juga perlu melakukan kajian selain berbincang dengan kru produksi agar semuanya berjalan lancar.

“Bila nak bersolek dalam satu-satu karya, ia bukanlah boleh dilakukan sembarangan. Sebab itu, pentingnya skrip dan tahu babak atau karakter yang akan dilaksanakan, then make sure setiap continues itu ada,” katanya.


Pada masa sama, pemilik nama sebenar Azlina Mohd Aris ini mengakui kerjayanya itu turut memberikan kepuasan dalam hidup.

“Contohnya, saya bukan diiktiraf untuk kesan solekan khas, tapi apabila diberi kesempatan dan produser pula percaya dengan hasil kerja saya, itu satu tindakan yang berbaloi,” katanya.

Berpengalaman hampir 30 tahun, Intan Azlina juga mempunyai kaedah tersendiri demi mengekalkan kredibilitinya sebagai jurusolek pilihan.

“Bagi saya, untuk berjaya dalam bidang ini, kita perlu pandai bawa diri, berdisiplin, jaga masa dan adab supaya orang selesa bekerja dengan kita.

“Lagipun, saya memang tak suka menyusahkan sesiapa. Sebab itu saya senang untuk datang awal ke lokasi penggambaran,” katanya.

Dalam tempoh itu, graduan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak ini sudah menjadi jurusolek untuk hampir 100 naskhah sama ada filem, teater, drama, MTV, iklan mahupun orang perseorangan.

Antaranya ialah Urut, Gelora Cinta, Suatu Malam Kubur Berasap 1 & 2, Laga, Vajram, Bisikan Syaitan, Cicakman 3, Upin Ipin,  Lenjan, Tanda Putera, Saka Sisters, Sayang Cendana, Balada Lela Majnun, Mahar Cinta Mama, Enigma, Seindah Mimpi , Romancinta (Mojo), Linangan Terakhir (Forteen), Adiwiraku (Zizan & Kru).

“Saya juga pernah berkesempatan menyolekkan ahli kumpulan Westlife dan Moffats serta perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Bagi saya, itulah pengalaman yang sangat berharga dan tak boleh dilupakan,” katanya.
Intan Azlina Aris jadi jurusolek profesional Intan Azlina Aris jadi jurusolek profesional Reviewed by Kakigosip on 12:02:00 Rating: 5
Powered by Blogger.