Ingatan Zaiton masih kuat

Ramai menyangka kesan kemalangan yang menimpa penyanyi lagu Menaruh Harapan, Zaiton Sameon pada 1990 membuatkan figura terkenal itu hilang ingatan.

Bagaimanapun, ketika bertemu dengannya pada sesi fotografi di Balai Berita, baru-baru ini, Zaiton berkata, ingatannya masih kuat dan jelas malah dia ingat tarikh tragedi itu yang turut mengorbankan anak tunggalnya. Bahkan, apa yang berlaku selepas itu menyebabkan dia tinggal sehelai sepinggang.

“Saya tak mahu lagi ingat perkara yang menyedihkan itu. Saya mahu gembira dan menjalani kehidupan seperti biasa. Apa yang sudah berlaku, biarlah ia berlalu,” katanya.

Sejak enam tahun lalu Zaiton dijaga dan diuruskan oleh Che Sikah Ismail, 45, atau Ikah yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Mereka bertemu di Johor Bahru ketika Zaiton menyanyi di restoran di sana.

Menurut Zaiton yang keadaannya ketika itu tidak terurus, Ikah pada mulanya tidak mengenalinya namun selepas saling bertegur sapa barulah dia sedar wanita di hadapannya ialah Zaiton Sameon.

“Seperti ada magis antara kami kerana pada pertemuan pertama, saya terus mempercayainya dan mengajak dia ke Kuala Lumpur kerana lebih selesa mencari rezeki di sana.

“Kebetulan Ikah juga sudah ketiadaan ibu bapa dan masih bujang. Dia hanya ada seorang adik yang sudah berkahwin dan menetap di Ampang. Kami pun berpindah ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama keluarga adiknya yang mempunyai seorang anak. Merekalah keluarga saya sekarang dan anak saudara Ikah seperti cucu saya sendiri.

“Alhamdulillah, masih ada orang yang peduli dan sayangkan saya. Ikah yang menjaga saya, makan pakai saya semua dia siapkan,” katanya.

Bercakap mengenai perjalanan seninya, masih ada tawaran menyanyi untuknya dan dia juga sering menghadiri pelbagai acara.

Namun pada sambutan Aidiladha lalu, Zaiton terjatuh di bangunan RTM yang menganjurkan sambutan hari raya korban di sana.

“Sebaik saja melangkah masuk ke dalam lif, kaki kiri saya terpelecok dan sehingga sekarang terpaksa bertongkat. Lambat nak sembuh kerana ketika kemalangan dulu kaki kiri saya teruk dan kini ia terkena lagi pada tempat sama.

“Ketika membuat persembahan saya tetap berdiri meskipun penganjur menyediakan kerusi kerana tak puas menyanyi sambil duduk,” katanya.

Bagi membantu keadaan Zaiton sekarang, Wafa Gallery dan De Media & Event Entertainment akan menganjurkan majlis Nostalgia Bersama Zaiton Sameon di Restoran Rebung pada 1 Januari depan, jam 2 petang.

Artis undangan ialah Datuk Khatijah Ibrahim dan Zaiton sendiri akan menyanyikan lebih lapan lagu pada acara itu termasuk berduet dengan Syed Wafa menerusi lagu Rindu Pelukan Bonda. Tiket berharga RM150 seorang termasuk jamuan makan.

Perkembangan lain, Zaiton turut terbabit dalam projek album khas berjudul Album Khas Nada Seni Ritma Negara -1.

Artis lain yang terbabit ialah Datuk Nassier Wahab, Rohana Jalil, Siti Fairuz, Ibnor Riza, Zur Eda dan Salwa Abdul Rahman.

Album itu akan memuatkan satu lagu lama setiap penyanyi dan satu lagu baru kecuali Salwa akan menyanyikan satu lagu baru saja.

Nassier (Sekali Aku Jatuh Cinta), Zaiton (Menaruh Harapan), Rohana (Rayuanku), Siti Fairuz (Bila Rindu Ku Sebut Namamu), Ibnor (Mimpi Yang Tak Sudah) dan Zur Eda (Pelitaku).

Album itu akan berada di pasaran tahun depan.
Ingatan Zaiton masih kuat Ingatan Zaiton masih kuat  Reviewed by Kakigosip on 12:30:00 Rating: 5
Powered by Blogger.