'Hashtag' bukan penanda aras

Sebaik ditayangkan di saluran Astro Ria, drama bersiri Coffee Prince adaptasi daripada drama popular Korea Selatan bersaing waktu siarannya dengan satu lagi drama di TV3, Dekatkan Jarak Kita yang berakhir tayangannya Isnin lalu.

Kebanyakan pemerhati dan peminat melihat persaingan itu berlaku dari sudut ‘trending’ dan tanda pagar atau ‘hashtag’ digunakan pada tajuk kedua-dua drama bersiri ini di semua cabang laman sosial.

Tambahan pula, kedua-duanya membariskan pelakon popular apabila Coffee Prince menampilkan Fattah Amin, Janna Nick, Diana Danielle dan Fahrin Ahmad, manakala Dekatkan Jarak Kita menampilkan Ayda Jebat, Syafiq Kyle dan Wan Sharmila.

Menyaksikan perkembangan ‘trending’ terhadap Coffee Prince dan Dekatkan Jarak Kita, ternyata apabila setiap kali kedua-dua drama ini ditayangkan, Dekatkan Jarak Kita akan memperoleh jumlah tertinggi.


Dalam tempoh itu, Coffee Prince juga jarang berada di tangga pertama perkara yang menjadi ‘trending’ dalam laman sosial, sekali gus ramai membuat andaian drama terbitan dan arahan Michael Ang itu tidak lagi menjadi pilihan penonton.

Ini berbeza dengan buah tangan Michael sebelum ini iaitu Suri Hati Mr Pilot dan Hero Seorang Cinderella yang mencetus fenomena.

Michael ketika dihubungi berkata, tanda pagar membabitkan judul drama yang ‘trending’ sebagai penanda aras terhadap sambutan penonton sudah tidak boleh lagi digunakan.

“Untuk pengetahuan semua dan seperti apa yang difahamkan oleh pihak Astro sendiri, Coffee Prince masih menjadi drama nombor satu di Astro Ria dan di semua platform rangkaian stesen berbayar itu,” katanya.

Apabila perkara itu diberitahu kepadanya, menurut pemilik produksi Cube Film Sdn Bhd itu, dia langsung tidak bimbang kerana penonton masih memberi sokongan kepada karyanya.

“Kalau orang kata drama keluaran Cube Film Sdn Bhd sudah tidak mahu ditonton penonton dan drama Red Velvet yang ditayangkan sebelum ini menampilkan Neelofa serta Alif Satar juga tidak menjadi ‘trending’ atau tidak mendapat sambutan juga tidak benar.

“Walaupun jumlah tontonannya tidak boleh menandingi rekod Suri Hati Mr Pilot dan Hero Seorang Cinderella, jumlah tontonan diterima masih di tahap baik,” katanya.

Menurut Michael, dia berani mengatakan ‘trending’ tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk melihat sambutan terhadap sesebuah drama tempatan berdasarkan rekod yang ditunjukkan stesen TV sendiri.

“Anda mesti terkejut jika saya katakan ada drama yang tiap-tiap malam menjadi ‘trending’ tetapi berada dalam senarai 10 drama paling rendah jumlah tontonan. Pada masa sama ada drama yang menjadi ‘trending’ sekali dua saja, tapi jumlah tontonan diperoleh tinggi.

“Saya sendiri terkejut dengan situasi itu. Hendak kata mereka berbohong dan mahu mengangkat karya mereka sendiri juga tidak boleh kerana mereka menunjukkan bukti dengan data yang lengkap,” katanya.

Michael berkata, ‘trending’ yang sudah menjadi budaya ini selalunya dilakukan sekelompok peminat yang mewujudkan ‘hashtag’ kepada pelakon kegemaran mereka dan secara tidak langsung ia membantu menjadikan drama atau artis itu ‘trending’.

Namun, ia bukanlah pengukur untuk menyatakan apa yang menjadi ‘trending’ itu mewakili suara atau pilihan umum secara keseluruhannya.
'Hashtag' bukan penanda aras 'Hashtag' bukan penanda aras  Reviewed by Kakigosip on 13:13:00 Rating: 5
Powered by Blogger.