Berita Terkini
recent

Gambar Nazri bersama Ryan Loh tular

Gambar yang menunjukkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dipercayai bersama bekas Ketua Pengarah Operasi syarikat Integrated Manasik Monitoring System (Imams) Sdn Bhd, Ryan Loh tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Gambar tersebut tular selepas ramai pihak menyuarakan bantahan bagaimana orang bukan Islam boleh menguruskan hal berkaitan ibadah umat Islam di negara ini.

Ryan Loh dikatakan sebagai penama yang menandatangani surat pemberitahuan kepada syarikat pelancongan yang memiliki lesen khas umrah (LKU) mengenai kadar pembayaran permohonan visa bagi jemaah umrah di bawah sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (Imams).



Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam satu sidang media mengaku tidak tahu bahawa syarikat yang diberi tanggungjawab menguruskan permohonan visa jemaah umrah di bawah sistem Imams dikendalikan bukan Islam.

Beliau turut mengesahkan Ryan Loh telah meletakkan jawatannya dalam Imams.

Manakala, Mohamed Nazri seperti dilaporkan media berkata, keanggotaan pegawai eksekutif bukan Islam dalam Imams bukan punca sistem Imams dibatalkan serta-merta.

Beliau berkata,  sebaliknya, pembatalan sistem itu dibuat kerana beliau tidak bersetuju dengan caj dan pelaksanaan yang wajib.

Ini berikutan tular di media sosial kononnya pegawai eksekutif bukan Islam dalam syarikat itu menjadi antara punca pembatalan sistem tersebut.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.