Berita Terkini
recent

Fasa baharu Jihan Muse & Ungku Hariz


KURANG sebulan, pelawak dan pengacara popular, Jihan Muse bakal melalui satu fasa baharu dalam hidupnya.

Ini kerana, pengacara Gegar Vaganza ini bakal melahirkan cahaya mata sulung hasil perkongsian hidup dengan aktor, Ungku Hariz.

Kini, usia kandungannya sudah pun mencecah 33 minggu dan dijangka bersalin pada Januari depan.

Lebih menarik, pasangan sejoli ini baru sahaja mengetahui jantina anaknya selepas diumumkan secara eksklusif oleh Konsultan Obstetrik & Ginekologi, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Dr Norleen Mohd Salleh.

Pengumuman itu dibuat menerusi satu panggilan video di dalam sidang media program baharu mengenai kehamilannya, Hi Mommy Jihan!.

Biarpun berdebar dan teruja bakal menimang cahaya mata lelaki, Jihan bagaimanapun tidak pernah kisah soal jantina anaknya itu.

Bahkan, selebriti berusia 34 tahun ini lebih gemarkan kejutan tatkala melahirkan bayi kelak.


“Saya sebenarnya mahukan kejutan. Ada beberapa kawan yang sebelum ini hamil mengetahui jantina bayi mereka tetapi apabila bersalin, jantinanya berbeza.

“Jadi, timbul rasa kecewa dan saya lebih mahu ia menjadi kejutan buat kami berdua,” katanya kepada Sinar Harian.

Atas faktor itu, pemilik nama penuh Nuur Jihan Muse ini juga mengakui masih belum membuat apa-apa persiapan buat si kecil.

“Saya memang tak beli apa-apa lagi sebab tak tahu jantina bayi. Jadi, bila dah tahu ini, esok baru fikir nak beli apa (ketawa).

“Lagipun, saya tak suka list down nak beli barang apa dan biarlah ia berlaku secara go with the flow saja,” katanya.

Pun begitu, berbeza pula buat suaminya, Ungku Hariz atau nama sebenarnya, Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli.

Mengakui cepat panik, pelakon filem Kimchi Untuk Awak ini mahukan semuanya berada dalam keadaan teratur dan tersedia rapi, sedari awal lagi.

“Kalau ikutkan, saya ini cepat panik orangnya. Saya mahu semuanya dalam keadaan teratur. Takut kelam-kabut nanti.

“Ada juga saya bertanya pada dia nak beli barang bayi atau tak? Tapi, dia kata tak perlu, jadi saya akur saja. Takut pula dia tak berkenan, berlaku pembaziran pula nanti,” katanya. 

Katanya, kebimbangan itu semakin bertambah apabila Jihan dikhabarkan bakal bersalin awal dari tarikh jangkaan sebenar kerana saiz bayi dalam kandungannya besar.

Susulan itu, pelakon berusia 32 tahun ini sentiasa bersedia dengan sebarang keadaan termasuklah menemani isterinya ke pentas akhir GV musim keempat yang bakal berlangsung di Johor Bahru, hari ini.

“Saya lihat, ada masanya tahap kesihatannya terganggu, Ia buat saya bimbang dengan keselamatannya.

“Dah pasti, saya mahukan yang terbaik dan berharap agar proses dan prosedur kelahiran bayi berjalan lancar.

“Sebab itu, saya perlu bersiap sedia secara mental dan fizikal terhadap segala kemungkinan sekiranya dia bersalin ketika sedang mengendalikan program GV4 nanti,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.