Berita Terkini
recent

Dynas gemar bawa watak gelap

Dalam bidang lakonan, Dynas Mokhtar tidak boleh lari daripada tanggapan penonton yang dia sering diberikan watak antagonis.

Biarpun terdapat segelintir pelakon yang mengelak melakonkan watak gelap, berbeza dengan Dynas, 34, apabila dia lebih menjiwai watak sebegitu.

“Saya okey dan lebih suka jika diberikan watak antagonis. Bagi saya, watak sebegini lebih senang dilakonkan. Dalam erti kata lain, tak perlu nak buat banyak ‘homework’. Bukan nak bangga diri tetapi disebabkan kerap melakonkan watak sebegini, saya sudah terbiasa.

“Bagi saya, melakonkan watak ini lebih mudah berbanding watak baik. Kalau diberikan watak baik saya pasti menggelabah. Malah, saya rasa gementar nak datang ke lokasi. Saya bimbang jika lakonan tidak memenuhi kehendak pengarah,” katanya.

Namun, Dynas yang juga pelakon drama Uda dan Dara tidak pernah menolak tawaran melakonkan watak protagonis kerana beranggapan setiap watak adalah cabaran baru.

Pada masa sama, sebagai pelakon, Dynas berpegang pada prinsip yang dia tidak boleh berada pada zon selesa.

“Sebenarnya, saya okey saja untuk mana-mana watak. Cuma, kalau bercakap soal keselesaan, saya lebih suka watak antagonis. Kalau watak baik pula, saya perlu bekerja keras untuk menghidupkan karakter berkenaan.

“Seperkara lagi, melakonkan watak baik saya tidak boleh menggunakan banyak pergerakan mata. Berbeza ketika melakonkan watak jahat. Apa pun, setiap watak memberikan pengalaman berbeza,” katanya.

Terbaru, Dynas muncul dalam drama Syurga Yang Kedua dengan melakonkan watak Delaila yang menghidap penyakit bipola.

Drama bersiri 70 episod itu mula ditayangkan semalam di saluran Astro Prima menampilkan pelakon utama seperti Zarul Husin, Fasha Sandha dan Siti Elizad.

“Saya ‘enjoy’ dan seronok melakonkan watak ini. Saya diberi kebebasan untuk mewarnai watak ini. Sehinggakan ada ketika, saya terbawa-bawa penjiwaan ke luar lokasi,” katanya.

Persiapan kahwin

Selepas selamat bertunang dengan kekasihnya yang dikenali sejak empat tahun lalu, Shazrik Din, Dynas berkongsi mereka bakal bernikah pada April tahun hadapan.

Meski tinggal empat bulan lagi menuju hari bahagia, Dynas berkata mereka belum membuat persiapan rapi.

“Kalau saya kata belum ada sebarang persiapan, mesti orang tak percaya. Malah, rakan yang bertanya pun mesti terkejut. Buat masa sekarang, kami baru dapat lokasi iaitu di hotel. Selebihnya masih dalam perbincangan.

“Kalau boleh untuk perkahwinan kedua ini, saya nak buat sendiri. Saya nak rasa pengalaman menguruskan perkahwinan tanpa khidmat perunding perkahwinan. Pada masa sama, rakan juga ada menyumbang idea,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai majlis perkahwinan itu, Dynas berkata ia tetap berlangsung dalam suasana meriah memandangkan perkahwinan pertama bakal suaminya.

“Kalau nak tahu, Shazrik lebih banyak membuat keputusan. Dia sangat teliti dalam semua aspek. Sehinggakan kalau saya berikan cadangan, dia tak setuju. Meski sibuk bekerja, dia tetap nak ambil tahu.

“Bukan itu saja, kedua-dua keluarga kami pun sama. Mereka kalau boleh nak terbabit sama. Masing-masing tak nak ketinggalan menjayakan majlis perkahwinan kami. Saya seronok melihat kesungguhan mereka,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.