Drama ketengah budaya kenegerian

ADAT dan budaya merupakan identiti sesebuah masyarakat. Pasti, setiap masyarakat mempunyai adat resam serta gaya kehidupan yang mereka banggakan.

Namun apakah yang akan berlaku jika dua pasangan dari dua negeri berbeza yang cukup kuat memegang tradisi masing-masing diikatkan dalam satu pertalian kukuh dan sah.


Itulah yang cuba disampaikan pengarahnya, Amor Rizan mengenai drama terbaru yang kini bersiaran menerusi slot Iris, Bilo Nogori Jupo Kelate.



Amor berkata, drama rantaian yang memulakan tayangannya pada 26 Disember lepas cukup menarik untuk tontonan seisi keluarga kerana selain memaparkan elemen drama dan konflik cinta, ia juga mengetengahkan budaya kenegerian yang menarik dan mencuit hati.

“Kalau kita bercakap mengenai dialek dan budaya negeri, pasti akan ada elemen humor kerana ada di antaranya yang begitu asing dengan individu yang dibesarkan di kota. Jadi kalau cakap mengenai negeri mana yang dikatakan paling kuat berpegang pada tradisi, pastinya kita akan cakap sama ada Negeri Sembilan atau Kelantan.

"Sebab itulah saya cuba garap drama ini dengan ketengahkan perihal dua individu daripada dua negeri berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Meski drama yang memulakan penggambaran sekitar Oktober lalu ini cukup menyenangkan kerana pelakon memberikan komitmen terbaik, namun Amor mengakui antara cabaran sepanjang proses penggambaran adalah untuk mengenal pasti dialek Negeri Sembilan dan Kelantan dengan betul.

“Memang kena pastikan setiap tutur kata itu betul dan selari dengan makna. Bimbang nanti kalau salah makna, lain juga interpretasinya. Malah, saya sendiri bukan dari Negeri Sembilan atau Kelantan. Cabarannya terletak di situ. Mujurlah, pihak produksi yang berasal dari Negeri Sembilan dan Kelantan.


"Pelakon juga cuba berikan yang terbaik dan semuanya berjalan lancar, tanpa masalah besar,” kongsinya lagi.

Ditanya apakah kelainan drama tersebut yang dijanjikan kepada penonton, kata Amor, elemen budaya kenegerian yang diterapkan akan membuatkan penonton terhibur.

“Kalau secara kasar, ada individu yang anggap Kelantan dan Negeri Sembilan tidak boleh bercampur dengan mereka yang berlainan negeri kerana sifat berpuak-puak. Akan tetapi, mereka tidak sedar bahawa jika hal itu berlaku, ia secara tidak langsung akan membuatkan nilai kemasyarakatan itu akan renggang.

“Jadi, saya suka untuk ketengahkan meski berlainan dialek namun kita masih boleh hidup harmoni, sebagai rakan, kekasih mahu pun suami isteri,” jelas Amor yang baru sahaja mengarahkan sebuah lagi drama bersiri, Suamiku Mat Pion yang bakal ditayangkan di RTM tahun depan.
Drama ketengah budaya kenegerian Drama ketengah budaya kenegerian Reviewed by Kakigosip on 07:16:00 Rating: 5
Powered by Blogger.