Dendam Tun Fatimah

Penggemar sejarah tentunya tahu berkenaan kisah srikandi Tun Fatimah yang harum sebagai wirawati yang menyelamatkan Melaka pada zaman kegemilangannya.

Melihatkan pada nilainya, naskhah ini menjadi pilihan pensyarah Fakulti Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sebagai bahan persembahan untuk menilai kemampuan pelajar Diploma Fakulti Teater mereka.

Pementasan Bangsawan Srikandi Melaka membabitkan 33 pelajar Kursus Bangsawan ini wajib diambil semua pelajar ASWARA sebagai syarat wajib lulus untuk menamatkan pengajian diploma.

Ia dipentaskan di Panggung Eksperimen, ASWARA selama dua hari, baru-baru ini dan mendapat sambutan menggalakkan termasuk daripada penonton luar.

Ramai dalam kalangan mereka terutama ibu bapa pelajar tertarik dengan persembahan bangsawan ini walaupun ada beberapa kekurangan yang boleh diperbaiki dari sudut sinografi, lakonan serta muzik sekiranya dipentaskan semula.

Bangsawan Srikandi Melaka dikendalikan pensyarah Nor Azura Abu Bakar sebagai penyelaras, Sha Thanasegaren sebagai pengurus produksi dan Ang Zhen Wei sebagai penolong pengurus produksi.

Shariful Akma Abdullah sebagai pengarah berjaya melunaskan tanggungjawabnya dengan baik.

Di tangannya, dia menonjolkan kegagahan, kepintaran dan kecantikan Tun Fatimah yang diserlahkan dengan baik oleh Nur Nazira Harizan atau Zera Hariz sebagai pemegang watak itu.

Kisah ini berkisarkan Mandalia dan Khodja Hassan yang mengambil kesempatan di atas kemurkaan Sultan Mahmud Syah terhadap Bendahara Seri Maharaja kerana tidak menyembahkan kepada baginda anak gadisnya, Tun Fatimah yang cantik.

Mereka bersepakat memfitnah Bendahara Seri Maharaja dengan menuduh Bendahara ingin merampas takhta Melaka. Ini menyebabkan Sultan mengutuskan hukuman bunuh kepada Bendahara Seri Maharaja dan seluruh ahli keluarganya kecuali Tun Fatimah.

Dengan perancangan Tun Busu yang juga anak saudara kepada Bendahara, beliau berjaya memujuk Tun Fatimah untuk berkahwin dengan Sultan.

Tun Fatimah berjaya membuat helah kepada Sultan dengan meminta izin untuk pulang ke kampung halaman, namun sebenarnya Tun Fatimah bersama Wati dan Anum, menyamar untuk membalas dendam atas fitnah yang menimpa keluarganya.

Tun Fatimah berjaya menawan Mandalia dan Khodja Hassan dan membawa mereka menghadap Sultan. Akhirnya, atas dendam yang tidak terbendung selepas kebenaran dirungkai, Tun Fatimah membunuh kedua-dua mereka di hadapan Sultan.

Sultan amat kesal atas kesalahan yang dilakukan terhadap Bendahara dan seluruh keluarganya, lantas meminta Tun Fatimah membunuhnya. Tetapi, Tun Fatimah membatalkan hasratnya kerana sedar akan dirinya yang sebatang kara.

Pelajar lain yang terbabit ialah Mohamad Salihin Azman (Sultan Melaka), Mohammad Amirul Abdul Rahman (Mandalia), Afiq Azri (Khodja Hassan), Shazrin Zainurin (Tun Busu), Muhammad Ikhwan Alif Salim (Tengku Zainal), Harraz Hakeem Hadi (Tun Sura), Mohamad Zakquan Abd Karim (Tun Indera), Mohammad Hafizul Zikri Zulkifli (Bendahara Seri Maharaja), Muhamad Aidil Kamarudzaman (Tun Ali- suami Tun Fatimah), Kang Xiau Ren (Tun Hassan), Fatin Wafiy Daud, Nur Raihana Nadhrah Mohamad Rizal (Wati), Aina Batrisyia Uzma Mohd Yusoff (Anum) dan Nurul Fardiana Muhamad (Mak Inang).

Sementara itu, Shariful Akma memuji barisan pelakonnya dan berbangga dengan lakonan yang diperlihatkan.

“Biarpun ada kelemahan, sebagai sebuah pementasan yang membabitkan gabungan semua Fakulti di ASWARA, ia adalah persembahan yang boleh dianggap berjaya.

“Saya berharap mereka dapat mempelajari sesuatu daripada pementasan Bangsawan kali ini. Kutiplah sebanyak mana pengalaman praktikal di Aswara kerana ia tak akan didapati di mana-mana pusat pengajian tinggi lain di Malaysia.

“Generasi muda perlulah mengangkat serta mempertahankan seni dan budaya kita yang bersesuaian dengan moto ASWARA, melangkah ke hadapan bersama tradisi,” katanya.
Dendam Tun Fatimah Dendam Tun Fatimah Reviewed by Kakigosip on 13:32:00 Rating: 5
Powered by Blogger.