Berita Terkini
recent

Deepika tenang hadapi ancaman

Walaupun menerima ugutan bunuh daripada pihak yang memprotes filem paling kontroversi India tahun ini, Padmavati, pelakonnya, Deepika Padukone tenang berdepan isu terbabit, malah lebih bersemangat untuk melihat filem itu ditayangkan.

Pelakon jelita berusia 31 tahun itu mengakui tidak tergugat walaupun ada yang sanggup membayar RM6.4 juta sebagai upah membunuhnya bersama pengarah, Sanjay Leela Bhansali.

Deepika berkata, dia sedih kerana masyarakat memilih mengharamkan filem berkenaan tanpa menonton dan melihat keseluruhan jalan ceritanya.

Katanya, khalayak hanya membuat spekulasi berdasarkan trailer filem berkenaan sehingga mencetuskan pelbagai andaian tidak benar.

“Jujur saya tidak takut malah perkataan itu tidak pernah wujud dalam kamus hidup saya kerana yakin dengan setiap pemilihan naskhah yang dibuat.

“Orang ramai mungkin boleh membuat protes dan setakat ini mereka berjaya menghentikan tayangan seketika. Tetapi saya percaya pada keadilan undang-undang negara India dan Padmavati tidak akan dihalang untuk jangka masa panjang,” katanya.

Menurut Deepika, dia meluahkan dirinya perlukan perlindungan daripada negeri itu.

“Dalam satu dunia sempurna, sudah tentu saya mahu selamat daripada sebarang ancaman. Namun saya rasa dengan keadaan sekarang terlalu awal untuk saya menjelaskannya.

“Saya percaya keadaan akan menjadi semakin baik untuk rasa lebih selamat, tetapi buat masa ini saya perlu melindungi diri ,” katanya

Filem Padmavati mendapat tentangan masyarakat Hindu khususnya keturunan Rajput kerana dikatakan menghina lelaki mereka terutama Raja Rajput pada ketika itu, Ratan Sen kerana memerlukan bantuan wanita keluar berperang.

Akibat protes yang dibuat, penerbitnya Viacom18 Motion menunda tarikh tayangan yang sepatutnya pada 1 Disember ini sehingga ke tarikh yang belum diputuskan.

Selain Deepika, filem itu turut dibintangi Ranveer Singh, Shahid Kapoor dan Aditi Rao Hydari.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.