Berita Terkini
recent

Daqmie sibuk jadi tenaga pengajar

JALUR hidup komposer dan penyanyi, Daqmie berubah selepas kemenangan lagu Tangisan Sebatang Tamar di Anugerah Nasyid Ikim FM 2014 (ANI2014).

Lantaran itu, jadualnya juga semakin padat kerana memenuhi undangan membuat persembahan di seluruh negara.

Pun begitu, nama selebriti berusia 46 tahun ini dilihat sedikit tenggelam dalam radar industri hiburan sejak kebelakangan ini.

Mengakui ‘kehilangannya’ itu, pemilik nama sebenar Azmee Abdul Manap ini ternyata punya percaturannya tersendiri.

Dalam diam, bekas penyanyi kumpulan rock Barongan ini jadi tenaga pengajar yang mengkhususkan kepada bidang muzik di Universiti Teknologi Petronas (UTP), sejak dua tahun lalu.

“Sebenarnya, saya sibuk jadi tutor dalam bidang muzik. Bidang muzik luas, bukan hanya sekadar vokal. Tugas saya juga meliputi penulisan lirik dan penghasilan lagu selain diajar aspek teknikal sebagai jurutera muzik.

“Ini juga merupakan perancangan utama saya demi melahirkan pelapis dalam industri,” katanya pada Sinar Harian.

Secara tidak langsung, katanya, keadaan itu memaksanya berulang-alik di antara Seri Iskandar, Perak dan Kuala Lumpur, setiap minggu.

Bagaimanapun, Daqmie yang mendirikan rumah tangga dengan Syarifah Dhurrah Uzma Syed Jaafar Muhiddin, hari ini mengambil keputusan untuk terus menetap di Taiping, Perak selepas ini.

Tercalon AN2017
Tanpa sedar, kesibukan membawa Daqmie semakin jauh daripada industri hiburan.

Bagaimanapun, penyanyi lagu 7 Petala Cinta ini mengakui ‘tersedar’ apabila lagu ciptaannya, Jalan Syahadah tersenarai di peringkat separuh akhir Anugerah Nasyid 2017 (AN17).

“Jujurnya, saya sendiri tak perasan saya dah makin jauh.

“Malah, saya tak tahu pun lagu ini juga tersenarai dalam segmen Carta Nasyid Ikim FM. Jadi, bila dapat ke separuh akhir, baru saya sedar dah lama tinggalkan bidang ini dan inilah masa saya kembali semula,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.