Dakwah Lah Ahmad

MULA dikenali bersama kumpulan VE, Lah Ahmad bagaimanapun lebih selesa bergerak solo dengan lagu-lagu kerohanian dan ketuhanan seiring dengan penghijrahannya, dua tahun lalu.

Dalam tempoh itu, selebriti berusia 37 tahun ini sudah hasilkan dua album  iaitu Lah Ahmad: Jalan Untuk Kembali (2014) dan Sempurna & Terbaik (2016).

Bahkan, penyanyi lagu Maulaya ini juga sedang sibuk mempersiapkan album ketiganya.


“Alhamdulillah, ini adalah satu usaha kecil saya dalam bidang seni dan inilah hala tuju saya.

“Tapi, saya bukanlah bagus sangat. Ilmu saya mungkin sebesar jagung atau timun tapi ini usaha untuk semua.

“Jujurnya, saya sangat bersyukur apatah lagi jalan ini ternyata lebih sesuai apatah lagi selepas mempunyai isteri dan anak-anak,” katanya pada Sinar Harian.

Pada masa sama, pemilik nama sebenar Abdullah Ahmad ini turut mengakui sisi kehidupannya menjadi lebih bermakna.

“Pertemuan dengan bijak pandai agama mengubah segalanya. Katanya, untuk berdakwah kita tak boleh melakukannya sendirian dan perlu dibuat secara beramai-ramai.

“Tapi, dengan satu orang, kita boleh bagi semangat pada orang lain. Saya dulu terfikir apabila cukup ilmu agama, barulah nak buat sesuatu, tapi ilmu takkan habis untuk dipelajari,” katanya.

Sinonim dengan genre R&B dan pop, pelantun lagu Kau Tercipta ini bagaimanapun tidak menyifatkannya sebagai satu kesalahan.

“Saya bukan kata dulu tak dapat pahala. Dulu pun ada caranya, ALLAH Maha Kaya.

“Tapi, mungkin kerana saya rasa teringin nak bawa lagu-lagu kerohanian cuma waktu itu saya belum bersedia.

“Jadi, sekarang ini rasanya lebih mudah dan  semuanya dilihat berbaloi kerana dapat ketenangan dan kepuasan,” katanya.

Bahkan, katanya, setiap yang dilakukan hari ini dilakukan dengan matlamat yang berbeza.

“Jika dulu, setiap kali naik ke pentas, saya pasti akan fikir duit kerana perlu membayar pelbagai bil.

“Tapi, sekarang saya bukan buat untuk diri sendiri tetapi ALLAH dan itu yang buat saya tenang dan gembira,” katanya.

Tercalon dalam AN17

Dalam pada itu, Lah mengakui belum bersedia menyertai program realiti demi mengecap kembali populariti buat kali kedua.

“Sebenarnya, memang saya ada menerima undangan untuk menyertai program realiti nyanyian sebelum ini.

“Namun, saya akui belum terbuka hati untuk menerimanya,” katanya.

Katanya, bukan mudah untuk terlibat dengan program realiti apatah lagi perkara tersebut memerlukan komitmen tinggi.

“Kalau nak sertai program realiti, memang kena beri komitmen penuh untuk memberikan hasil yang terbaik. Bukan sertai untuk suka-suka saja.

“Kalau ada yang memanggil saya sebagai penyanyi jemputan, saya bersedia. Tetapi untuk terlibat dengan program realiti, rasanya mungkin belum masanya lagi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, lagu ciptaannya, Salam tersenarai ke pentas akhir Anugerah Nasyid 2017 (AN17) yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 13 Januari depan.

“Alhamdulillah, ini adalah pencalonan yang pertama saya untuk AN17,” katanya.
Dakwah Lah Ahmad Dakwah Lah Ahmad Reviewed by Kakigosip on 07:51:00 Rating: 5
Powered by Blogger.