Berita Terkini
recent

'Chris' paling kacak

Di Hollywood, ada beberapa selebriti kacak yang menggunakan Chris sebagai nama pentas mereka. Chris Hemsworth, Chris Pratt, Chris Evans dan Chris Pine masing-masing mempunyai pesona tersendiri.

Bagaimanapun, Pine terus mendaki populariti dan selesa berada dalam liga tersendiri.

Pelakon berusia 37 tahun ini sedikit pun tidak terkesan dengan tiga lagi rakan artis yang juga mempunyai kelompok peminat.

Pine yang turut beraksi dalam filem Wonder Woman tidak hanya mencuri tumpuan banyak produksi dan pengarah tetapi juga kegilaan ramai wanita.



Baru-baru ini, sebuah portal melaporkan Pine menduduki carta teratas sebagai ‘Chris’ yang paling kacak dan diminati ramai.

Namun, pelakon itu menganggap perkara berkenaan hanya sebagai gurauan.

“Saya tahu ramai yang berkongsikan artikel terbabit di laman sosial masing-masing, namun saya tidak menganggap ia sebagai perkara serius. Mereka mungkin hanya mahu bergurau membandingkan saya dengan tiga lagi Chris.

“Dalam hal membandingkan kita dengan pelakon lain, seseorang itu tidak akan pernah menemui jawapan yang tepat. Setiap individu mempunyai peminat tersendiri. Masing-masing pelakon juga mempunyai aura mereka.

“Tangga teratas atau paling bawah, tidak ada bezanya. Kami masih bekerja seperti biasa dan berusaha memberikan lakonan terbaik bagi menghiburkan penonton,” katanya yang pernah berlakon dalam The Princess Diaries 2: Royal Engagement.

Tahun lalu, Pine merakamkan lagu duet bersama Barbra Streisand berjudul I’ll Be Seeing You/I’ll Grown Accustomed To Her Face.

Walaupun sesi rakaman berjalan di studio yang berbeza, kerjasama itu adalah satu lagi pencapaian dalam kerjaya Pine.

Menganggap dirinya bukan seorang penyanyi yang baik namun Barbra memuji lontaran vokal pelakon itu.

Malah, Barbra turut menyarankan Pine cuba terjun ke bidang nyanyian.

“Saya seorang pelakon yang kebetulan mempunyai suara yang mungkin sedap di dengar. Saya bukanlah seorang penyanyi profesional tetapi apabila tawaran ini datang, saya awalnya beranggapan ia ‘prank’.

“Namun, saya bersetuju apabila diyakinkan peluang itu sememangnya ditujukan untuk saya. Saya boleh menarik nafas lega apabila paduan suara itu mendapat sambutan hangat. Saya juga ingin berterima kasih kepada Barbra kerana memberikan peluang itu.

“Kalau ada ruang untuk cuba menyanyi, saya mungkin akan cuba. Mungkin cubaan itu akan membuatkan saya terkenal di Internet dengan kata-kata negatif kerana suara saya bukannya bagus sangat,” katanya.

Selain drama dan filem, Pine juga pernah terbabit dengan beberapa pementasan teater.

Kali terakhir dia beraksi adalah pada 2010 menerusi teater berjudul The Lieutenant of Inishmore.

“Saya sudah lama tidak berlakon dalam teater kerana terlalu sibuk dengan komitmen lain.

Sebenarnya, teater sangat menyeronokkan. Setiap pelakon berusaha menghiburkan penonton yang kita boleh lihat reaksi wajah ketika menjayakan sesebuah watak.

“Tekanan di atas pentas saya rasa lebih besar dibandingkan karya yang dirakam dan kemudian ditayangkan selepas siap disunting. Teater tidak melalui proses suntingan dan semuanya perlu sempurna,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.