Cabaran jadi ilmu baru

Sehebat mana pun pelakon menjayakan sesuatu watak, mereka tidak dapat lari daripada berdepan cabaran ketika penggambaran.

Bagi bintang terkenal Indonesia, Fedi Nuril, ada beberapa cabaran yang menjadi ilmu baru buatnya meningkatkan skil lakonan.

“Saya sangat tercabar apabila perlu menitiskan air mata dalam menjayakan sesuatu karakter. Nampak mudah, hakikatnya ia memerlukan fokus yang sangat tinggi,” katanya.

Fedi ketika ditemui di Jakarta baru-baru ini berkata, karakternya dalam filem Ayat Ayat Cinta 2 (AAC2) juga berdepan cabaran besar.

“Dalam AAC2, ada masa tertentu saya perlu keluarkan air mata. Kadangkala terlalu lambat dan ada masanya terlalu cepat.

“Untuk pastikan masanya tepat memang sukar. Bagaimanapun, mudah-mudah cabaran ini dapat meningkatkan mutu lakonan saya,” katanya.

Bercerita mengenai AAC2, Fedi sekali lagi menggalas karakter Fahri.

“Fahri umpama guru dalam kehidupan saya. Kali ini karakter Fahri lebih matang dan sudah bekerja sebagai pensyarah dalam bidang Philoligy,” katanya.

Ditanya sama ada karakter Fahri ada persamaan dengan dirinya dalam kehidupan sebenar, Fedi mengakuinya.

“Apa yang boleh dikatakan, antara saya dan Fahri ada persamaan. Tidak terlalu banyak, tapi 50 peratus daripada kehidupan dan diri saya mirip dengan apa yang ditonjolkan dalam karakter Fahri,” katanya.

Kerana itu jugalah, banyak pengalaman hidupnya disalurkan dalam diri Fahri, sekali gus menjadi bonus buat Fedi tatkala perlu banyak bermain dengan emosi.

“Seperti yang saya jelaskan, babak menangis paling sukar. Jadi, saya gunakan pengalaman sedih yang pernah dilalui untuk menjiwai babak itu,” katanya.

Selain itu, bergelar pensyarah walaupun sekadar dalam filem menuntut Fedi melakukan banyak kajian.

“Sebelum ke lokasi saya akan melakukan kajian dan berusaha memahami latar belakang watak.

“Untuk Fahri, saya perlu belajar cara pensyarah mengajar dalam dewan kuliah.

“Saya tambah sedikit elemen drama untuk mencuri perhatian penonton, namun pada masa sama perlu menampakkan ia realistik,” katanya.

Di Indonesia, AAC2 bakal menemui penonton pada Khamis ini manakala di sini pula pada 11 Januari depan.

Selain Fedi, AAC2 turut membariskan ramai pelakon hebat dari Indonesia dan Malaysia antaranya Dewi Sandra, Tatjana Saphira, Chelsea Islan, Nur Fazura dan Bront Palarae.
Cabaran jadi ilmu baru Cabaran jadi ilmu baru  Reviewed by Kakigosip on 12:25:00 Rating: 5
Powered by Blogger.