Berita Terkini
recent

Busker: Angkat kisah pemuzik busker

Filem ini mendapat sentuhan pemenang Anugerah Seri Angkasa 2016 menerusi Komedi TV Terbaik iaitu Pengarah, Syed Khairul Fariz dan dijayakan pelakon muda seperti Hafeez Mikail, Daiyan Trisha, Anas Ridzuan, Bulan, Lia Natalia dan Mas Khan.

Buskers juga bakal menyaksikan kemunculan istimewa MonoloQue, Man Bai, Luqman Hafidz, Elizabeth Tan, Aziz M Osman, Jihan Muse, Mark Adam, Zain (Ruffedge) dan Altimate.

Karya yang mengangkat pemuzik busker sebagai paparan utama dalam jalan cerita serta disokong dengan elemen persahabatan dan cinta ini mempunyai kelainan tersendiri.

Menariknya, band muzik yang diilhamkan itu turut direalisasikan di luar dengan nama yang sama iaitu ‘Simfoni Dalam Poket’ dan dianggotai oleh pelakon utama Hafeez Mikail, Anas Ridzuan dan Bulan dibimbing penyanyi dan pemuzik terkenal Monoloque, yang juga penata muzik bagi filem Busker.

Berbeza dengan filem terbitan Astro Shaw sebelum ini, filem Busker dihiasi dengan 21 lagu terdiri daripada lagu baru dan juga lagu khas untuk filem ini.

Lagu tema utama filem ini adalah Atma Jiwa nyanyian Simfoni Dalam Poket serta lirik dan muzik oleh MonoloQue.

Tajuk lagu baru yang lain seperti Mogok Tenteram, Semak, Selamat Tinggal Kekasih Lama, Jelingannya, Malas Nak Layan, Kupu-Kupu Malam, Doa Untuk Kekasih, Teka Teki Teka Tekok, Ingat, Konfessi dan Impianku.

Tidak ketinggalan, filem ini turut menampilkan lagu yang disusun semula seperti Doa Untuk Kekasih, Slumber, Alamak dan Ali Malas. Sebanyak 15 lagu akan dimuatkan ke dalam album dan ia boleh didapati di Spotify, Joox, Yonder dan iTunes.

Filem yang  mendapat sokongan daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru, Muafakat Johor, IRDA (Iskandar Regional Development Authority, Iskandar Waterfront dan Edu City Iskandar Malaysia ini menjalankan sesi penggambaran 100 peratus di Johor Bahru dan akan menemui penonton bermula 11 Januari tahun depan.

Menurut Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, sebagai antara penerbit filem di Malaysia, pihaknya turut bertanggungjawab menampilkan genre filem yang berbeza bagi mewarnai industri perfileman tanah air serta memenuhi selera penonton yang berbeza-beza.

“Selepas kejayaan filem aksi Abang Long Fadil 2 dan Tombiruo : Penunggu Rimba, kini Astro Shaw kembali dengan filem genre romantik. Filem Busker mempunyai keunikan tersendiri kerana tunjang utamanya adalah kelompok busker yang jarang dipertontonkan di layar perak.

“Kali ini kami tampilkan bakat muda sebagai pelakon utama kerana mereka menepati ciri-ciri yang ada dalam watak. Justeru, kami mencari pelakon yang boleh berlakon, menyanyi, mahir bermain alat muzik dan sesuai dengan penampilan remaja," katanya.

Filem Busker mengisahkan sekumpulan remaja yang meminati muzik jalanan dan ingin memperjuangkan minat mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, Adil mula berkawan dengan Vera dan mendapat semangat baru dalam menggapai impiannya.

Tanpa disedari, perasaan suka mula timbul di antara mereka. Namun, semakin hampir dengan hari pertandingan, Adil berdepan dengan konflik persahabatan, cinta dan impiannya sendiri.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.