Berita Terkini
recent

Beego, Afiq lakar sejarah

Pada mulanya, rakan baik pelakon Beego dan Afiq Muiz iaitu Affendi Juri yang juga pengawai di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor dicabar rakan melakukan terjunan payung terjun.

Bagaimanapun, demi persahabatan yang begitu erat, mereka bertiga sepakat bersama-sama menyahut cabaran itu.

Hasilnya, mereka bukan saja ‘terbang’ dan ‘melayang’ serta mendapat kepuasan berlegar-legar di udara sambil menikmati pemandangan terbentang luas, usaha mereka itu juga mendapat pengiktirafan daripada AFjets Sdn Bhd dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Dalam nada ceria, Beego berkata, dia dan Afiq artis pertama tanah air yang terjunan mereka diiktiraf serta mendapat sijil.

Menurut Beego, dia sememangnya meminati sukan ekstrem, jadi dengan mudah dia jatuh cinta dengan aktiviti payung terjun.

Walaupun berlaku beberapa tragedi meragut nyawa, tiada apa yang dapat menghalang Beego meneruskan aktiviti barunya itu.

“Kami melakukan terjunan itu minggu lalu di Kem Tekah Taiping, Perak. Kami juga mendapat latihan daripada ahli payung terjun terlatih di sana yang terdiri daripada bekas pegawai tentera. Faktor keselamatan sangat dititikberatkan kerana kami melakukan terjunan solo tanpa jurulatih terjun bersama,” katanya.

Beego berkata, mereka melakukan terjunan pada ketinggian 1,200 meter (m) sebanyak tiga kali.

“Perasaan dapat terbang seperti burung sukar diungkapkan dengan kata-kata dan anda kena merasainya sendiri.

“Selepas ini saya akan melakukan terjunan pada ketinggian 3,600m dan 6,000m pula,” katanya.

Affendi turut melakar kenangan manis apabila menjadi kakitangan JPJ pertama negara yang melakukan terjunan itu dan memakai ‘wing airborne’.


BEEGO (kanan) bersama Afiq (kiri) dan Affendi diberikan sijil selepas melakukan aktiviti terjunan.
Beego juga menggalakkan rakan artis dan peminat yang meminati sukan ekstrem mencuba aktiviti payung terjun.

Dia juga merancang membawa pihak media dan peminat mencubanya nanti.

“Perasaan gentar memang ada tetapi selepas dua tiga kali melakukan terjunan, sukar untuk melupakannya. Sebagaimana kepuasan yang diperoleh pemandu kereta lumba, begitulah yang saya rasakan ketika melayang-layang di udara,” katanya.

Ditanya mengenai tragedi yang menimpa penerjun sehingga meragut nyawa mereka, Beego berkata, kebanyakannya berlaku dalam keadaan kecemasan dan mereka cuba menyelamatkan diri dengan membuka payung terjun pada ketinggian rendah.

Apa pula perasaan isterinya yang juga pelakon Linda Hashim dengan hobi barunya ini?

“Linda duduk atas sejadah sambil berdoa,” katanya ketawa.

Dalam perkembangan lain, Beego kini berada di lokasi drama 70 episod berjudul Syurga Yang Kedua arahan Zamri Zakaria.

Ia turut menampilkan lakonan Fasha Sandha, Siti Elizad, Dian P Ramlee, Datuk Jalaludin Hassan dan Zarul Husin.

“Syukur tawaran berlakon masih ada dan saya akan menceburi bidang perniagaan untuk masa depan kami sekeluarga,” katanya yang memiliki dua anak perempuan, Jelita Clarissa dan Anggun Cassandra hasil perkahwinannya dengan Linda.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.