Bantu dari segi pengarahan

Pembabitan pengarah Syamsul Yusof dalam filem Makrifat Cinta bukan saja sebagai pelakon, tetapi turut bertindak sebagai penasihat kepada pengarahnya, Kamal G.

Syamsul yang juga pemenang tiga kali kategori Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) mengakui dia meminta Kamal merombak skrip filem itu sebelum bersetuju untuk berlakon.

“Memang ramai yang bertanya adakah saya sebagai pengarah atau pelakon dalam filem ini. I­ngin dijelaskan, saya hanya menasihati dari segi skrip dan pengarahan. Saya banyak duduk berbincang dengan Kamal. Bukan menidakkan kemampuan Kamal, tetapi saya sekadar berkongsi pengalaman.

“Apabila dia menawarkan filem ini dan membaca keseluruhan skrip, saya nampak hala tuju dan visi Kamal. Cuma saya meminta dia me­ngembangkan beberapa watak yang dibawa Nabila Huda dan Puteri Balqis.

“Saya tak tolak, tetapi perlu banyak perubahan jika ingin mendapat hasil yang terbaik. Boleh dikatakan hampir 80 peratus perubahan dibuat. Selepas tiga bulan, Kamal bertemu saya semula dan berikan skrip yang baru,” katanya.

Syamsul yang berpengalaman dalam penerbitan filem yakin Makrifat Cinta boleh diterima baik penonton berdasarkan jalan ceritanya.

Syamsul turut memberi jaminan filem yang menggunakan teknologi Imej Janaan Komputer (CGI) itu mampu bersaing dengan beberapa filem lain apabila ditayangkan mulai 1 Februari tahun depan.

“Penonton tak kisah mengenai bajet sesebuah filem, tetapi mereka lebih menghargai jalan cerita. Saya terima tawaran filem ini pun disebabkan tema yang disampaikan. Filem ini secara keseluruhan berkisar mencari cinta sejati dalam hidup.

“Pada masa sama, ia bakal memberi evolusi baru dalam pembikinan filem di Malaysia. Kalau nak tahu, kru filem ini terdiri daripada pasukan dari India. Diakui cara bekerja mereka jauh berbeza dengan kita,” katanya.

Syamsul berkata, sepanjang 35 hari menjalani penggambaran, dia bekerja dalam suasana berbeza.

Menurutnya, sebelum ini dia sudah biasa bekerja dengan pasukan sendiri, jadi masing-masing tahu apa yang diingini.

“Memandangkan Kamal pengarah baru, saya banyak memberi tunjuk ajar. Saya tak nak orang lain pijak kepala dia,” katanya.

Syamsul turut berkongsi, bekerja dengan pasukan dari India memberikan satu lagi pengalaman baru untuknya.

Syamsul berkata, dia dan tenaga kerja tempatan perlu banyak belajar dari segi teknikal.

“Bapa saya orang yang paling bimbang jika saya pilih projek. Jadi, selepas dia menonton filem ini ketika proses wajib tayang, dia kata filem ini okey. Katanya, banyak babak menyentuh perasaan. Maklum balas diberikan itu membuatkan saya lega,” katanya.

Mengenai gandingan sulungnya dengan Nora Danish selaku watak utama, Syamsul memuji sikap profesional Nora.

Malah, Syamsul mendedahkan Nora dan Nabila bersetuju berlakon dalam filem itu selepas diberi keyakinan mengenai keupayaan Kamal sebagai pengarah.

“Pada mulanya Nora dan Nabila menjangka saya yang mengarah. Disebabkan itu dia bersetuju berlakon. Jadi, saya meminta Kamal menjaga mereka sebaik-baiknya dari segi watak yang dibawakan.

“Saya juga meyakinkan Nora dan Nabila yang Kamal boleh membentuk watak mereka. Alhamdulillah, sepanjang penggambaran tidak timbul sebarang masalah. Semuanya berjalan lancar,” katanya.

Arah filem Mat Kilau

Berkongsi mengenai perkembangan terbaru­nya, Syamsul berkata, filem Munafik 2 bakal ditayangkan selepas Aidilfitri tahun depan.

Selain itu, Syamsul juga bakal muncul dalam filem KL Special Force arahan adiknya, Syafiq Yusof.

Syamsul juga bakal memulakan penggambaran filem Mat Kilau pada Mac tahun depan.

“Sebenarnya filem ini sudah menjalani penggambaran separuh jalan. Namun, atas beberapa masalah filem ini tertangguh. Jadi, penerbitnya, Kembara Studio menawarkan saya untuk menyambung projek ini.

“Pada awalnya saya menolak kerana sebahagian membabitkan kerja orang lain. Kalau mahukan saya juga, kena buat semula dan mereka bersetuju. Saya pun rombak semula skrip. Barisan pelakon sudah ada, tetapi tak boleh dedahkan lagi,” katanya.
Bantu dari segi pengarahan Bantu dari segi pengarahan Reviewed by Kakigosip on 20:25:00 Rating: 5
Powered by Blogger.