Berita Terkini
recent

Ary Hadri sedia beri kelainan


ARY Hadri yang sebelum ini membina nama dan dikenali sebagai vokalis kumpulan Klangit  mengakui lebih selesa bergerak solo setelah dua tahun tidak bersama kumpulan yang cukup popular dengan lagu Sesal Mendua itu.

Pertama kali tampil solo, kata Ari persembahannya dirasakan serba tak kena kerana sudah biasa dengan rakan-rakan dalam band ketika membuat persembahan di pentas.

Bagaimanapun, katanya dia dapat menyesuaikan diri dan cuba melakukan sesuatu yang agak berbeza daripada yang pernah dilakukan bersama band sebelum ini.



“Alhamdulillah dalam tempoh dua tahun saya dapat rasakan perubahan itu dan paling penting saya kini lebih yakin berada di pentas," katanya.

Meskipun perlu bermula kembali dari bawah semula, Ary tidak pernah menganggap itu sebagai satu masalah sebaliknya nekad memberikan yang terbaik buat peminat yang masih setia menyokongnya.

“Walaupun ada yang dah kenal saya sebelum ini, tetapi saya akui ia bukan perkara yang mudah untuk menarik perhatian peminat.

               
“Jadi saya berusaha memberi kelainan baik dari segi lagu, persembahan mahupun penampilan agar mereka dapat lihat sesuatu yang berbeza berbanding ketika bersama band sebelum ini,” katanya.

Menurut Ary, single pertamanya sebagai penyanyi solo, Janji Palsu yang diperkenalkan lebih setahun lalu kurang mendapat sambutan peminat, dia tidak pernah patah semangat, sebaliknya terus mencari formula terbaik untuk single akan datang.

“Insya-ALLAH tidak lama lagi saya akan tampil dengan single kedua dan berharap peminat suka dan dapat menerima lagu ini dengan baik,” katanya yang masih bernaung di bawah label Sony Music Malaysia.

Dalam pada itu, Ary turut menafikan dakwaan bahawa dia mempunyai masalah disiplin sehingga mengganggu perjalanan kerjaya seninya sebelum ini ketika masih bersama kumpulan mahupun ketika sudah bergerak secara solo.

“Kalau benar saya artis yang bermasalah, mana mungkin syarikat rakaman Sony Music masih menyambung kontrak sebagai artis naungan mereka sehingga ke hari ini.

“Saya harap peminat tidak mudah percaya dengan dakwaan sebegini kerana perkara inilah yang boleh merosakkan reputasi seseorang artis dan seterusnya mengganggu perjalanan kerjaya seni mereka,” ujar Ary kepada Sinar Harian

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.