Artis cemerlang tahun ini


Industri hiburan tempatan bukan saja dihangatkan dengan deretan kisah sensasi dan kontroversi, malah sepanjang 2017 pelbagai kejayaan dicapai beberapa artis tempatan bagi mewarnai kanvas seni masing-masing.

Menariknya, pencapaian yang diraih itu hasil kerja keras mereka dalam cabang seni diceburi. Turut membantu, tentu saja sokongan daripada peminat yang tidak berbelah bahagi.

Apa yang pasti, kejayaan menggenggam trofi dan pelbagai lagi pengiktirafan bukti mereka layak berada di kedudukan sekarang. Ia sekali gus meletakkan mereka dalam kelas tersendiri.

Menyorot kembali perjalanan sepanjang tahun ini, BLING! menyenaraikan 10 artis paling cemerlang berdasarkan kejayaan diraih.

1. DATUK SERI SITI NURHALIZA

Walaupun mengumumkan berehat daripada bidang nyanyian kerana sedang hamil enam bulan, kedudukan Siti Nurhaliza sebagai penyanyi nombor satu negara belum tergugat.

Selain dianugerahkan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia - Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri pada Oktober lalu, Siti juga diiktiraf sebagai Artis Tempatan Paling Tinggi Jumlah Penstriman sepanjang 2017 di aplikasi Spotify.

Kejayaan lain ialah sebagai Artis Terbaik Malaysia (Anugerah BAMA), Grup/Duo MeleTop bersama Faizal Tahir (Anugerah MeleTop 2017), Artis Duo/Kumpulan Terbaik bersama Faizal Tahir (Anugerah Planet Muzi 2017) dan Celebrity Entrepreneur of The Year (Anugerah SME & Entrepreneurship Business).

2. KHAI BAHAR

Bakatnya bermula di aplikasi muzik Smule, Khai Bahar kini menjadi antara penyanyi muda yang mekar di dalam dan luar negara.

Sepanjang 2017, Khai berjaya menggenggam lima trofi pada tiga acara berprestij iaitu Artis Baru Meletop pada Anugerah Meletop Era 2017, Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular 3.0 dan Lagu Paling Popular APM (menerusi lagu Bayang) dan Artis Paling Popular APM 2017 pada Anugerah Planet Muzik 2017.

Khai juga dipilih menyanyikan lagu tema filem Indonesia, Haji Kecil.

3. DAYANG NURFAIZAH

Dayang Nurfaizah juga mengekalkan rekod cemerlang dalam bidang nyanyian apabila muncul sebagai pemenang Vokal Terbaik tiga tahun berturut-turut pada Anugerah Juara Lagu (AJL).

Tahun ini iaitu AJL31, Dayang menyapu bersih kategori Vokal Terbaik dan Anugerah Juara Lagu menerusi lagu Lelaki Teragung.

Lebih membanggakan, Dayang yang turut muncul dengan album studio terbaru berjudul Dayang Nurfaizah diberi penghormatan menyanyi pada pembukaan Sukan SEA, KL2017.

Dayang juga menang dua trofi pada Anugerah Planet Muzik 2017 menerusi kategori Artis Terbaik Wanita dan Lagu Terbaik Malaysia untuk lagu Lelaki Teragung.

Selain itu, Dayang juga menerima pengiktirafan, The BrandLaureate Grand Master Brand ICON Leadership berikutan pencapaiannya dalam industri muzik tempatan.

4. SANGEETA KRISHNASAMY

Nama pelakon ini melonjak naik selepas membintangi filem Adiwiraku yang diangkat daripada kisah benar.

Walaupun filem itu gagal meraih kutipan pecah panggung, Sangeeta mampu tersenyum lebar apabila filem itu diangkat sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM 29).

Sangeeta juga menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada FFM 29. Kejayaan berganda untuk Sangeeta juga apabila turut menang dalam kategori sama pada Anugerah Skrin 2017.

5. DATIN DIANA DANIELLE

Lakonan Diana Danielle dalam filem Hanyut adalah bukti dia bekerja keras untuk menghidupkan watak diberi.

Malah, lakonannya mendapat pujian ramai sehingga mampu menarik perhatian juri sekali gus melayakkan dia menang kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada FFM 29 dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem pada Anugerah Skrin 2017.

6. SYAMSUL YUSOF

Pengarah dan pelakon ini terus gah di kedudukan terbaik apabila dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57 menerusi filem Munafik di Phnom Penh, Kemboja, pada Julai lalu.

Kemenangan Syamsul itu sekali gus mengulangi kejayaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Yasmin Ahmad yang pernah memenangi kategori sama.

7. CHEW KIN WAH (CK WAH)

Nama pelakon Chew Kin Wah atau CK Wah mungkin asing dalam kalangan peminat tempatan.

Namun, untuk tahun ini saja, CK Wah berjaya mengharumkan nama negara di persada perfileman Indonesia apabila menang kategori Pemeran Pendukung Pria Terbaik pada Anugerah Filem Box Office Indonesia (IBOMA 2017) menerusi filem Cek Toko Sebelah.

Dia turut menang pada Festival Filem Tempo (FFT) menerusi kategori Pelakon Pembantu Pilihan Tempo melalui filem Cek Toko Sebelah.

8. YUNA

Penyanyi tempatan yang mencipta nama di Amerika Syarikat, Yuna melakar sejarah tersendiri apabila menjadi artis Malaysia pertama dipilih menghiasi muka depan sisipan fesyen majalah Vogue Arabia terbitan Ogos.

Yuna juga menjadi penyanyi Malaysia pertama yang berjaya tercalon dalam Anugerah Black Entertaiment Television atau BET Award.

Penyanyi berusia 30 tahun ini tercalon menerusi lagu Crush duet bersama penyanyi antarabangsa terkenal, Usher.

9. FAIZAL TAHIR

Penyanyi dan komposer ini dicalonkan dalam acara berprestij Anugerah MTV EMA 2017 buat kali kedua.

Faizal mengisi kategori Artis Asia Tenggara Terbaik bersama Isyana Sarasvati (Indonesia), The Sam Willows (Singapura), Slot Machine (Thailand), James Reid (Filipina), Dam Vinh Hung (Vietnam) dan Palitchoke Ayanaputra (Thailand).

10. AIMAN TINO

Biarpun tidak menang sebarang anugerah pada tahun ini, Aiman Tino masih dianggap antara artis yang cemerlang sepanjang 2017.

Aiman yang melancarkan produk minyak wangi menerima kereta Audi R8 berharga kira-kira RM1 juta. Aiman juga menjadi artis tempatan pertama yang mengeluarkan jenama pakaian seragam sekolah iaitu Sweet Aiman Junior.
Artis cemerlang tahun ini Artis cemerlang tahun ini Reviewed by Kakigosip on 13:28:00 Rating: 5
Powered by Blogger.