Berita Terkini
recent

Aku Yang Sebenar

Terselit dalam kalangan penyanyi generasi baru dan layak ke pentas Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) membuatkan penyanyi, Hazama bersyukur kerana dirinya masih relevan dalam industri hiburan tanah air.

“Alhamdulillah, bila lagu Aku Yang Sebenar diumumkan layak ke AJL32, sedikit sebanyak membuatkan saya yakin diri masih diperlukan dalam industri.

“Dalam kalangan penyanyi muda yang tercalon, lagu itu terselit dan berjaya memberikan saingan kepada lagu lain,” katanya.

Berbicara mengenai persiapan ke AJL32, Hazama nampaknya semakin matang dalam bertanding.

“Ini adalah AJL kali kesembilan dan kali ini saya sebagai salah satu calon. Dari segi persiapan, saya banyak serahkan kepada kumpulan untuk merancang.

“Saya akui, kalau dulu saya mungkin pentingkan diri sendiri dalam menterjemahkan idea. Sekarang, saya belajar daripada pengalaman dan setiap orang ada idea yang boleh digunakan,” katanya.

Menurutnya, semakin meningkat usia, dia semakin sedar industri ini untuk dikongsi.

“Industri seni bukan untuk seorang anak seni saja, tapi untuk dikongsi. Kerana itu, saya beri contoh, Aku Yang Sebenar adalah hasil kolaborasi dan perkongsian antara saya, Datuk M Nasir dan Ed Samad.

“Setiap daripada kami ada idea masing-masing dan disampaikan dalam lagu ini. Kerjasama antara orang lama dan orang baru menjadi kekuatan kepada lagu ini,” katanya.

Ditanya mengenai pesaing terdekat dalam senarai calon di AJL32, Hazama menamakan beberapa lagu yang baginya memiliki kekuatan tersendiri.

“Kalau dulu, pemahaman saya mengenai AJL adalah dari sudut vokal. Tapi sekarang, saya faham juri juga melihat secara keseluruhan.

“Antara rangkaian lagu yang ada kekuatan adalah Sejati yang akan dinyanyikan Azmi Caliph Buskers, Separuh Mati Ku Bercinta (Dayang Nurfaizah) dan Amboi (Altimet),” katanya.

Terbaru, Hazama dalam proses untuk menyiapkan album di samping dalam perbincangan untuk berlakon drama.

“Saya dan kumpulan saya kini menyenaraikan lagu yang sesuai untuk album.

“Untuk lakonan pula, saya ada ditawarkan untuk berlakon drama dan kalau semua berjalan lancar, itu akan menjadi drama pertama lakonan saya,” katanya

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.