Aishah atau Hazami

Debaran pasti dirasai penonton setia Gegar Vaganza musim keempat (GV4) apabila program realiti popular ini melabuhkan tirainya pada malam ini.

Mereka yang berjaya ke peringkat akhir iaitu Aishah, Hazami, Firman, Liza Hanim, bekas penyanyi kumpulan Kristal, Lan dan bekas penyanyi kumpulan Jinbara, Tia akan bertarung buat kali terakhir bagi merebut gelaran juara dan hadiah wang RM100,000.

Pemenang malam ini juga akan dapat tanah lot banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas dan baucar beli-belah bernilai RM6,000 serta trofi.

Melihat perkembangan setiap peserta yang layak ke pentas akhir selama tujuh minggu konsert berlangsung, kebanyakan peminat meletakkan penyanyi berpengalaman dan bertaraf antarabangsa, Aishah dan Hazami sebagai mempunyai kelebihan dan laluan cerah bergelar juara.

Ini kerana, menurut mereka, setiap minggu per­sembahan Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin sangat konsisten.

Begitu juga dengan Hazami yang mampu menyampaikan setiap lagu dengan cara tersendiri, terutama pada konsert minggu keenam apabila berjaya mengalunkan Jampi dengan gaya dan vokal tersendiri.

Kebanyakan peminat setia program itu menyifatkan Hazami mampu menjadikan lagu Jampi seperti lagu sendiri dan jauh berbeza dengan nyanyian asal penyanyi dan pencipta lagu itu, Hael.

Pujian yang diberikan oleh pengkritik tetap iaitu pengarah muzik, Datuk Ramli MS dan penyanyi veteran dari Indonesia, Hetty Koes Endang terhadap mereka berdua setiap minggu juga diambil kira.

Walaupun ada teguran diberikan terhadap kesilapan nyanyian dilakukan dua artis berpengalaman ini, ia tidak terlalu besar dan persembahan mereka tidak pernah pincang.

Begitupun kelebihan dimiliki Liza Hanim juga tidak boleh diperlekehkan. Walaupun kebelaka­ngan ini Liza seolah-olah hilang tumpuan apabila tampil di pentas, pada sudut penyampaian dan penghayatan dalam setiap lagu didendangkan berjaya membuai emosi penonton.

Pelbagai spekulasi timbul membabitkan persembahan Liza setiap minggu yang dilihat tidak konsisten. Ada ketika dia seakan-akan hilang fokus dikatakan berpunca daripada rasa terlalu yakin ketika beraksi.

Begitupun apa saja dakwaan dan tanggapan dibuat umum terhadap Liza, penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu Gelisah Mimpi itu tentu memperkukuhkan persembahannya pada malam ini dan memastikan dia tidak mengulangi kesilapan seperti beberapa konsertnya sebelum ini.

Perhatian dan fokus juga bukan sahaja tertumpu pada Liza tetapi juga Lan, Tia dan wakil dari Indonesia, Firman.

Bagi mereka, apa juga yang berlaku malam ini, persembahan diberikan mampu mencipta kena­ngan manis buat peminat dan akan dikenang sampai bila-bila.

Malam ini, Aishah akan tampil dengan lagu All By Myself nyanyian asal Celine Dion yang dilihat memberikan satu kelebihan untuk bekas penyanyi kumpulan Fan Club itu mencipta keajaiban dalam memastikan kemenangan berpihak kepadanya.

Begitupun peluang lebih besar dimiliki Liza apabila diberikan lagu dendangan asal kumpulan Search, Meniti Titian Usang. Tidak mudah untuk mempersembahkan lagu hit itu dengan interpretasi yang hebat dan memukau juri dan penonton.

Jika Liza dapat memberikan tafsiran yang baik pada sudut persembahan vokal dan penampilan di pentas, tentu gelaran juara juga dalam genggamannya.

Begitupun Hazami tidak akan memberi laluan mudah kepada dua artis wanita ini, apatah lagi dia diberikan lagu yang berkualiti tinggi dan pernah memenangi anugerah, Bahagiamu Deritaku nya­nyia asal Hafiz Suip.

Sementara itu Lan yang kini menggunakan gelaran Lan Solo akan mendendangkan lagu nyanyian asal kumpulan Nirvana, Smells Like Teen Spirit, Firman pula menyanyikan lagu Drama King, Meet Uncle Hussein dan Tia pula Roman Cinta (Mojo) .

Untuk segmen ‘battle’ pula pihak produksi memilih Aishah bersaing dengan Liza Hanim mendendang­kan Supergirls (De Fam), Lan Solo dan Hazami de­ngan lagu Amboi (Altimet) sementara Firman dan Tia akan mendendangkan Tepi Sikit (Sleeq).
Aishah atau Hazami Aishah atau Hazami  Reviewed by Kakigosip on 11:24:00 Rating: 5
Powered by Blogger.