Berita Terkini
recent

Acap Kristal nikahi Siti Aishah

PEMAIN drum kumpulan Kristal, Acap sah bergelar suami kepada Siti Aishah Mohamad Zakaria, 24, selepas selamat diijabkabulkan di Masjid Negeri, di Georgetown, pagi tadi.

Acap atau nama sebenarnya, Muhd Nur Asraf Baharuddin, 24, dinikahkan pada 10 pagi oleh Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, Daerah Bandaraya Georgetown, Manshor Taib dengan tiga kali lafaz.

Sambil disaksikan ahli keluarga kedua-dua belah pihak, Acap menyerahkan mas kahwin RM200 dengan sebentuk cincin bersama hantaran RM15,000 dengan lima berbalas tujuh dulang hantaran.

Acap ketika ditemui melahirkan rasa bersyukur kepada Allah SWT kerana mempermudahkan segala urusan pernikahannya walaupun ada sedikit perasaan gementar.



“Pengalaman ini sukar untuk saya lupakan sampai bila-bila apabila terpaksa melafazkan tiga kali akad nikah.

“Alhamdulillah saya kini sudah mempunyai tanggungjawab baru dengan menjadi suami dan mengharapkan agar perkahwinan ini kekal hingga ke jannah,” katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Bagi Siti Aishah pula, sifat kelakar yang ada pada suaminya antara tarikan istimewa selain Acap adalah seorang yang sentiasa bersabar dan comel.

Menurutnya, keunikan mereka berdua adalah cukup meminati masakan kari selain saling memahami antara satu sama lain sejak berkenalan pada tahun 2013.

Katanya, selepas empat tahun menyulam cinta, akhirnya pada Oktober lalu pihak keluarga suami datang merisik dan mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan.

“Kini kami berdua sudah berada di fasa yang baru. Saya berdoa kepada Allah agar jodoh dan mahligai yang dibina ini kekal hingga ke jannah selain dikurniakan zuriat yang comel.

“Mengenai perancangan bulan madu kami masih lagi mencari lokasi menarik dan berhajat akan pergi ke sebuah pulau impian di luar negara,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.