Berita Terkini
recent

Abam tidak 'letih' lagi

Pelawak Abam Bocey mengakui pernah terdetik rasa ‘letih’ apabila ada segelintir pihak sering bertanyakan mengenai kisah peribadinya.

Menurut Abam, dia berharap dengan pengumuman bakal melangsungkan pernikahan pada 8 Disember depan dapat menjawab segala penantian orang ramai yang menantikan berita gembira itu.

Bakal menikahi wanita berusia 26 tahun yang dikenali dengan nama Hidayah, wanita yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor itu adalah insan yang berjaya menawan hatinya untuk dijadikan suri hidup.

“Memang soalan cepu emas itulah yang sering kali ditanyakan kepada saya. Kadang-kadang pernah terdetik juga rasa letih apabila asyik ditanya soalan sama.

“Maklumlah, ahli kumpulan Bocey yang lain Fad dan Achey masing-masing sudah berkahwin. Jadi saya pun tidak terlepas dengan soalan perihal peribadi.

“Bagaimanapun, saya selalu cakap kalau ada jodoh, insya-Allah saya pun akan menyusul,” katanya.

Menurutnya, selama ini dia bukan tidak selesa bercakap mengenai soal jodoh cuma dia mempunyai tanggungjawab dan impian yang perlu dilunaskan.

Katanya, dia mahu menjadikan ibunya sebagai wanita pertama ingin dibahagiakan.

“Memang selama ini pun saya bekerja untuk mencari nafkah. Bukan untuk siapa-siapa, tetapi untuk ibu saya sendiri.

“Sebab itu saya selalu beritahu, biarlah saya bahagiakan ibu dulu. Saya mahu hasil titik peluh saya selama ini dirasai oleh keluarga sendirI, barulah fikir untuk berumah tangga,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Abam baru pulang dari London bagi menjalani penggambaran drama Tuyul Ke London yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.