2 tahun cari identiti

Sejak awal pembabitan dalam bidang lakonan, tidak banyak drama yang dibintangi pelakon kacak Gong-Yoo. Drama terakhir lakonannya adalah rantaian Goblin yang mula ditayangkan pada Disember 2016 dan berakhir pada Januari tahun ini.

Selepas tamatnya drama Goblin yang mendapat sambutan positif seluruh dunia, jejaka itu ingin berehat dari dunia lakonan. Dia mahu meluangkan masa untuk melakukan aktiviti digemarinya.

Kata Gong-Yoo, dia bukannya tidak merindui dunia lakonan namun seperti orang lain, dia juga ingin bercuti daripada kesibukan di lokasi penggambaran dan merehatkan diri.

“Setiap individu pasti akan melalui satu jangka masa yang mereka sangat sibuk, tertekan dan letih tidak hanya fizikal tetapi juga mental serta emosi. Sebaik tempoh itu tamat, seseorang itu akan terbaring lesu.

“Saya juga sama seperti mereka. Sebab itulah saya ingin mengambil masa untuk berehat selepas penggambaran Goblin, aktiviti promosi dan sesi bertemu peminat. Sebenarnya, saya ingin mengambil cuti lebih panjang tetapi ingin berlakon dalam satu lagi filem pada tahun ini.

“Tempoh rehat saya bertambah panjang kerana sebaik saja sudah bersedia kembali berlakon, tidak ada produksi yang menawarkan projek baru,” katanya.

Jejaka itu turut mengakui beberapa tahun kebelakangan ini adalah tahun berat baginya. Selama dua tahun, Gong-Yoo berkata, hatinya gusar untuk mencari identitinya sebagai pelakon.

“Saya berusaha mencari hala tuju sebagai pelakon dalam industri seni. Saya sekali lagi mencari siapa diri saya, di mana saya berada dan ke mana perlu dituju. Sekarang ini saya sudah bersedia untuk kembali berlakon,” katanya.

Pada awal tahun ini, Gong-Yoo berkata, dia ingin mencari naskhah filem yang sesuai dengan dirinya kerana berasakan penggambaran drama mengambil masa panjang jika dibandingkan dengan filem.

Meniti populariti, Gong-Yoo tidak pernah menyukai sosial media kerana terlalu ramai yang menggunakan medium itu untuk berkongsi gambar sedangkan dia sebaliknya.

Aktor berusia 38 tahun itu tidak pernah suka mengambil gambar apatah lagi memuat naik di laman sosial. Bagaimanapun, Gong-Yoo memberikan pengecualian pada sesi fotografi dilakukan bersama media.

Kata Gong-Yoo, dia enggan memuat naik gambar di laman sosial kerana tidak mahu dikenali ramai. Dia merindukan kehidupannya yang boleh bersiar-siar dan menikmati makanan kegemaran di tepi jalan tanpa diperhatikan.

“Terlalu banyak yang saya rindukan. Dulu saya boleh menikmati makanan ringan yang dijual tepi jalan tanpa perlu risau orang ramai mengambil gambar.

“Sudah terlalu lama saya tidak berjalan dan bersiar-siar dengan bebas di kawasan tumpuan orang. Saya juga teringin untuk mandi laut dan berjemur di tepi pantai.

“Tetapi sekarang saya tidak dapat melakukan perkara itu lagi. Saya akan menjadi perhatian bila di luar dan orang ramai akan mengambil gambar dan kongsikan di laman sosial,” katanya.

Gong-Yoo akui, keadaan itu kadangkala membuatkannya rimas. Namun, dia mesti menerima hakikat situasi itulah yang perlu dilaluinya sejak popularitinya meningkat naik
2 tahun cari identiti 2 tahun cari identiti Reviewed by Kakigosip on 09:20:00 Rating: 5
Powered by Blogger.