16 tahun menang RM100,000, Proton Saga


PESERTA dari Selangor, Aqeesh Aleeya, 16, diumumkan juara program realiti, Bakat Ohsem Malaysia musim pertama yang dibawa khas oleh Hurr.tv yang diadakan di Damansara Performing Arts Centre, Petaling Jaya Sabtu lalu jam 9 malam.

Peserta termuda dalam kalangan lapan finalis itu membawa pulang hadiah utama wang tunai RM100,000, sebuah kereta Proton Saga 1.3 (A). Manakala kumpulan tarian Nasty Rock Crew juga dari Selangor menduduki tempat kedua dan peserta dari Kuala Lumpur, Yazmin Aziz pula diumumkan sebagai pemenang ketiga.

Aqeesh atau nama sebenarnya, Nur Balqish Aleeya Shahrom memberi persembahan meyakinkan di dalam dua pusingan menerusi dua lagu iaitu Birds Set Free dan Langit Cinta nyanyian asal Dayang Nurfaizah.


“Alhamdulillah dengan kemenangan ini dan pastinya saya tidak sangka akan diumumkan sebagai pemenang sebab peserta lain juga tidak kurang hebatnya, apatah lagi saya merupakan peserta yang paling muda. Apa pun, terima kasih buat juri profesional dan penonton yang mengundi. Ternyata kemenangan ini memberi saya lebih semangat untuk menyanyi di masa depan,” katanya kepada Sinar Harian.

Hurr.tv merupakan laman online gaya hidup dan platform strim video dan program final ini mendapat kerjasama baik daripada penaja utamanya, MyMotor.

Pencarian Bakat Ohsem Malaysia berjalan pada September hingga November lalu dan penganjur telah menerima ratusan video dari seluruh negara yang mempamerkan pelbagai idea kreatif dan bakat seperti nyanyian, tarian, silap mana dan sebagainya.

Seramai lapan finalis terpilih ke peringkat akhir dan sistem penjurian adalah 50 peratus markah daripada juri profesional dan selebihnya daripada undian penonton. Penyanyi, Aizat Amdan, Sherry al-Hadad dan Nabil Ahmad menggalas tugas sebagai juri profesional pada malam itu.

Bakat Ohsem Malaysia final dapat ditonton menerusi laman www.hurr.tv/BOM.
16 tahun menang RM100,000, Proton Saga 16 tahun menang RM100,000, Proton Saga Reviewed by Kakigosip on 07:27:00 Rating: 5
Powered by Blogger.