Berita Terkini
recent

Zayan bukan stesen radio Islamik

BARU dua bulan beroperasi, stesen radio, Zayan berjaya menarik perhatian pendengar menerusi frekuensi 104.9FM.

Pengurus Kandungannya, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, rata-rata pendengar memberi maklum balas yang positif.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan. Apa yang penting, kita memberi pilihan baru kepada pendengar.

"Sasaran pendengar kita adalah mereka yang berumur dari 18 hingga 34 tahun,” katanya pada Sinar Harian ketika ditemui pada majlis perasmian Zayan.

Akuinya, kewujudan Zayan yang bermaksud keindahan, bukanlah untuk bersaing, namun sekadar mengisi ruang kosong yang ada dalam bidang penyiaran.

“Kita tak mahu bersaing, apatah lagi kandungan yang disediakan juga berbeza,” katanya.

Ditanya mengenai kekeliruan dan imej Zayan yang dilihat membawa konsep Islamik, Wan Syahrul menjelaskan, Zayan mengambil pendekatan gaya hidup Muslim moden kontemporari sekali gus tampil berbeza dengan stesen lain yang ada di bawah Astro Radio.

"Dari awal lagi, kami tidak pernah berkata bahawa kami membawa konsep Islamik. Tapi saya suka katakan kami adalah modern Muslim. Modern Muslim ini gaya hidup.


"Kalau Islamik, ia sudah menjurus ke arah agama. Apa yang pasti Zayan menawarkan alternatif yang lebih baik untuk para pendengar khususnya golongan Muslim moden kontemporari, yang mementingkan pengisian positif dalam mendasari dan memenuhi kehidupan seharian mereka.

"Zayan turut menyajikan pelbagai segmen menarik untuk pendengar sasaran melalui segmen- segmen yang disediakan," jelasnya.

Bukan itu sahaja, dari segi pemilihan lagu, mereka masih memainkan muzik tempatan dan antarabangsa.

"Kita tidak hadkan lagu kita pada lagu nasyid sahaja. Apa yang pasti lagu itu merangkumi lagu-lagu pop dan ketuhanan berunsurkan positif," jelasnya.

Penyampai sebagai ikon

Ditanya mengenai pemilihan barisan penyampainya pula, Wan Syahrul berkata, mereka menampilkan barisan personaliti yang bertenaga, kreatif, trendy, peramah, ceria dan mempunyai prinsip hidup yang tinggi.

Zayan menampilkan Mawi, Anas, Raqib, Falyq dan Lin Ariffin sebagai penyampai radio.

"Mereka ini ibarat ikon kerana masing-masing datang dari latar belakang yang berbeza. Namun latar belakang itu, sesuai pengisian dan cara penyampaian yang di bawa.

"Malah kami juga fokus pada penampilan, pengisian bakat seni ke arah yang positif dan karakter yang bersesuaian dengan pengisian kita," katanya.

Menggunakan #IndahDiHati sebagai slogan, antara segmen yang disediakan di Zayan adalah Salam Bros Mawi & Anas (6 pagi - 10 pagi), #ZOTD Lin Ariffin (10 pagi - 3 petang), Zayan Valet Raqib (3 petang - 7 malam), Zayan Fikir (7 malam - 8 malam) dan Zayan Cafe Falyq (8 malam - 12 tengah malam).

Para pendengar boleh mendengar Zayan menerusi frekuensi 104.9FM di Lembah Klang, Alor Star (98.1FM), Ipoh (106.4FM), Melaka (98.9FM), Johor Bahru (92.8FM) dan Kuantan (91.6FM).

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.