Berita Terkini
recent

Zakiah Anas timba pelbagai pengalaman

MINAT dan kecenderungan yang tinggi dalam bidang penyiaran membuatkan personaliti TV popular, Zakiah Anas, 51, tekad menimba pengalaman lebih 25 tahun di TV3.

Selepas menamatkan pengajian dalam bidang Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara, (UiTM) Shah Alam pada 1991, Zakiah terus mendapat peluang berkhidmat dengan TV3.


Ketika itu anak kelahiran Bagan Serai, Perak ini ditempatkan di bilik berita sebagai wartawan penyiaran selama dua tahun sebelum diberi peluang membaca berita buat pertama kali pada1993 menerusi Berita Ringkasan Malam yang disiar pada jam 12 tengah malam.

“Alhamdulillah, pengalaman pertama berada di bilik berita berjalan lancar kerana saya dilatih dan didedah dengan pelbagai tugasan berkaitan ketika belajar di UiTM.

“Malah sebelum memulakan tugas di bilik berita juga, saya terlebih dahulu jalani kursus intensif tentang tugasan berkaitan selama tiga bulan sebagai persediaan.

       
“Mungkin kerana latihan dan pendedahan itu juga saya yaki  di depan  kamera,” katanya.

Selepas itu, Zakiah kemudian membaca Berita Terkini dan seterusnya Buletin Utama selama lebih empat tahun sebelum kendali pelbagai program TV sebagai pengacara pula.

Antara program yang pernah menyaksikan Zakiah sebagai hos adalah Majalah 3, 999, Malaysia Hari ini, Wanita Hari ini dan lain-lain.

“Selepas lebih empat tahun di bilik berita, saya diberi peluang kendali program TV dan antara yang terawal adalah program Majalah 3  yang sebelum itu mendapat rating yang cukup tinggi.

“Apabila saya masuk menggantikan Wan Zaleha yang ketika itu baru sahaja menamatkan perkhidmatan dengan TV3, tanggungjawab itu jadi cukup besar untuk kekalkan momentum sedia ada dan pada masa sama memastikan program itu terus diminati ramai.

“Saya juga antara yang terawal kendalikan program 999 yang mengupas pelbagai isu jenayah dan nama saya begitu sinonim dengan program tersebut dalam tempoh 9 tahun bersama mereka,” kata Zakiah yang seangkatan dengan Normala Shamsudin dan Azura Karim ketika itu.

Cabaran berbeza

Berkongsi cabaran dilalui selama hampir tiga dekad dalam bidang penyiaran, kata Zakiah, pada era 90-an, proses mencari bahan berita tidak semudah hari ini.

“Sekarang semuanya berada di hujung jari kita boleh Google sahaja apa informasi yang kita inginkan dalam masa beberapa saat sahaja selain pelbagai kemudahan teknologi yang mampu memudahkan kerja-kerja yang dilakukan.

“Namun ketika era 90-an itu, semua dilakukan secara manual termasuk menyiapkan berita dengan menggunakan mesin taip, mencari bahan atau kajian dengan terperap di perpustakaan dalam tempoh yang lama untuk menyiapkan bahan dan sebagainya.

           
“Itu belum lagi dengan cabaran mencari berita di luar di mana ketika itu kita sendiri yang kena keluar mencari berita, malah perlu agresif untuk mendapatkan berita tepat dan terbaik,” katanya.

Bagaimanapun Zakiah mengakui puas dengan pengalaman ditimba sepanjang berkhidmat di bidang penyiaran di mana banyak perkara menarik yang telah dilaluinya.

“Sepanjang berkhidmat dengan TV3 saya berpeluang buat macam-macam perkara, baik sebagai wartawan penyiaran, membaca berita dan mahupun sebagai hos untuk program yang berbeza konsep dari berbentuk majalah sehinggalah kepada hiburan.

“Saya anggap ia pencapaian peribadi kerana bukan semua orang berpeluang merasa semua bahagian ini.

“Menerusinya saya berpeluang pergi ke serata tempat baik dalam mahu pun luar negara dan bertemu pelbagai ragam manusia sepanjang lakukan tugasan,” ujarnya.

Antara pengalaman tidak dapat dilupakannya Zakiah adalah ketika melakukan tugasan untuk membuat liputan kebakaran kilang mercun Bright Sparkle di Sungai Buloh sekitar 1991.

             
Menyentuh perkembangan terbaru selepas menamatkan perkhidmatan dengan TV3 pada 2014, Zakiah kini terlibat dalam perniagaan dengan mengusahakan perniagaan pakaian kasual untuk lelaki di bawah label Anas by Zakiah Anas.

“Saya dan suami memulakan perniagaan ini sekitar 2015.

“Buat masa ini saya hanya jual secara online kerana kami tidak mempunyai kakitangan mencukupi dan saya pula perlu bahagi masa urus keluarga.

“Apa pun, insya-ALLAH saya bersama rakan artis di bawah Gabungan Transformasi Anak Seni (Gtas) akan berada di Festival All In One di Kedah hujung bulan ini untuk menjual dan promosi pakaian daripada jenama saya di sana,” kata ibu tujuh anak ini lagi.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.