Berita Terkini
recent

X-Pose Band atur strategi

MENCIPTA fenomena yang bukan calang-calang di YouTube menerusi single pertama mereka yang berjudul Sandiwara, X-Pose band mengakui penerimaan pencinta muzik tempatan terhadap lagu tersebut merupakan suatu kejayaan yang di luar jangkaan.

Apatah lagi sebagai pendatang baru, kumpulan yang dianggotai Furhan selaku vokalis, Fakhrul (gitar), Eppy (bassis), Zaim (keyboard) dan Taqim (drum) ini mengakui masih banyak ilmu seni yang perlu dikutip mereka untuk berdiri setara dengan kumpulan muzik sedia ada.

Bercakap kepada Media Hiburan, Furhan mewakili rakan lain bagaimanapun menambah, kejayaan lagu Sandiwara yang sudah pun menerima hampir tiga juta tontonan di YouTube menjadi pemangkin buat mereka untuk lebih berusaha memberikan yang terbaik selepas ini.

Terdahulu, Xpose Band bergerak bebas sebelum dipelawa hadir ke sesi uji bakat oleh Suria Records untuk jadi artis rakaman awal tahun ini. Lalu, mereka diberi peluang merakam Sandiwara ciptaan Din Lela yang mendapat sentuhan lebih segar daripada Zimie (Sofaz).

Sementara itu, muzik video Sandiwara telah pun dimuat naik di laman berkenaan sejak pertengahan Julai lalu.

“Rata-rata mengekspresikan maklum balas positif terhadap single pertama kami. Sudah tentulah sebagai orang baru, kami rasa terharu dan gembira atas reaksi yang diterima. Bukan senang buat sesebuah kumpulan baru itu untuk mencari tapak dalam seni menerusi lagu pertama. Namun Alhamdulillah, setakat ini kejayaan Sandiwara mendorong kami untuk lebih bersemangat dalam industri.

“Malah, rata-rata komen yang diberikan juga cukup positif. Sementara kalau ada kritikan negatif pula, ia lebih menjurus kepada gaya nyanyian saya yang gemar menutup mata kala membuat persembahan. Insya-ALLAH, mana yang dirasakan tidak berapa baik, kami akan cuba perbaiki. Terima kasih atas segala teguran,” katanya.

Enggan terlalu selesa

Tidak mahu selesa dengan kejayaan awal yang dicipta, X-Pose Band juga pada masa sama cuba mencari strategi lain demi meneruskan survival dalam seni.

Kongsi Furhan lagi, setakat ini mereka cuba mempromosikan single pertama sementara menantikan lagu kedua yang bakal dilancarkan tahun hadapan.

“Projek untuk single kedua sudah pun ada. Cuma kita perlu lihat terlebih dahulu sejauh mana kejayaan Sandiwara. Sebab daripada situ, kita dapat melihat apakah lagu dan cita rasa muzik yang diinginkan kebanyakan pendengar di negara ini.

Jujurnya juga, kami pun takut juga bila ada pendapat yang mengatakan bila cepat naik, kita mungkin akan cepat jatuh. Oleh sebab itulah, kami tidak mahu mendabik dada atau berbangga dengan pencapaian X-Pose Band setakat ini.

“Sebaliknya, adalah lebih baik jika kami cari formula terbaik untuk mengekalkan kualiti single kedua agar setara dengan lagu pertama, insya-ALLAH," akuinya yang tidak menafikan, kerjasama dan idea dari ahli kumpulan lain turut mendorong kepada kejayaan sesebuah band muzik.

Bercerita persaingan di kalangan penyanyi seangkatan dan sedia ada, X-Pose Band tidak melihat ia menyekat mereka untuk terus berkarya. Sebaliknya, persaingan diterima dalam industri merupakan sesuatu yang normal.

“Kalau nak dikata mengenai persaingan, bagi kami itu merupakan suatu hal yang sihat. Kalau tidak ada penyanyi lain yang hasilkan lagu-lagu yang bagus, macam mana untuk kita sebagai kumpulan baru mahu bersaing untuk menghasilkan lagu yang baik juga. Daripada situlah kita dapat menilai diri sendiri dan cuba berikan yang terbaik untuk peminat di luar sana,” jelas Eppy memasang visi.

Mengharapkan sokongan berterusan daripada peminat muzik tanah air, X-Pose Band juga berharap agar lagu-lagu nyanyian mereka selepas ini kekal diterima ramai.

“Bukan pada single sulung kami sahaja, tapi besar impian kami untuk melihat lagu-lagu nyanyian kami selepas ini turut mampu mencipta kejayaan sama. Moga lagu-lagu kami menjadi malar segar di telinga peminat,” insya-ALLAH,” akhirinya mewakili rakan X-Pose Band lain.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.