Berita Terkini
recent

Wany Hasrita impi beli rumah

BIAR terpaksa berkorban, Wany Hasrita bersyukur apabila percubaannya menceburi dunia hiburan berbaloi. Tambahan pula, niat utama penyanyi berusia 25 tahun ini adalah untuk membantu ibu, Norita Abd Rahman menambah pendapatan keluarga.

“Alhamdulillah, saya mengaku bidang hiburan sangat membuka pintu rezeki saya. Malah, perjalanan saya dalam bidang ini turut dipermudahkan dan segalanya berjalan lancar. “Sedikit demi sedikit, ia dapat menaikkan taraf hidup saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Buktinya, hari ini, pemilik nama penuh Nurshazwany Hasrita Hasbullah ini sedang berusaha keras membeli sebuah rumah demi keselesaan keluarga.

“Saya hanya nak bantu ibu. Kebetulan, ibu diberhentikan kerja. Lagipun, ibu dan ayah saya dah bercerai. Jadi, sebagai anak tunggal, saya perlu ambil tanggungjawab itu dan tak pernah rasa terbeban.

“Ibu tak perlu berterima kasih pada saya sebab pengorbanannya melahirkan dan membesarkan saya, cukup besar,” katanya.

Pun begitu, dalam proses mencipta populariti, Wany mengakui pernah tertekan tatkala memenuhi pelbagai undangan menjayakan persembahan.

Sebenarnya, saya ini stage fright, hanya yang rapat saja tahu. Bila saya takut, saya akan menggigil sekali gus effect pada suara.

“Alhamdulillah, bila saya dah selalu buat (menyanyi), perasaan itu hilang dan saya pun dah mula enjoy dengan apa yang saya buat, “ katanya.

Bukan itu sahaja, graduan Sains Perubatan ini sanggup menangguhkan seketika menyambung pengajian di peringkat Sarjana.

“Jauh di sudut hati, saya menyimpan impian untuk bergelar pensyarah. Cuma, saya perlukan sedikit komitmen dan masa. Ia juga sebagai satu langkah jangka panjang. Insya-ALLAH, saya akan sambung belajar juga, satu hari nanti,” katanya.

Jadi pelakon?

Tidak hanya menyanyi, Wany juga berhasrat menjadi pelakon sebagai memenuhi perasaan jiwa mudanya yang ingin mencuba bidang baru.

Sebelum ini, katanya, dia terpaksa menolak tawaran yang diterima kerana fokus dalam nyanyian.

“Sebenarnya, saya nak mencuba. Tapi, bila difikirkan kembali, apa lagi dengan zero knowledge pasal berlakon, saya takut ia akan menyusahkan semua orang.

“Jadi, lebih baik saya memberi tumpuan dalam bidang nyanyian saja,” katanya yang bernaung di bawah label FMC Music.

Dalam pada itu, Wany juga mencipta kejayaan sendiri apabila lagu popularnya, Menahan Rindu berjaya ke pentas Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32).

Lebih istimewa, lagu ciptaan Ibnu dan Gouffran itu merupakan single dan penyertaan pertamanya dalam AJL32.

Bagaimanapun, lulusan Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) ini tidak berhasrat untuk bersaing dengan penyanyi lain sebaliknya hanya mahu melakukan yang terbaik.

Dalam perkembangan lain, Wany juga sedang sibuk mempromosikan single terbarunya, Rintihan Rindu.

“Saya juga bakal keluar lagu Rindu Dalam Benci, duet dengan Tajul, awal tahun depan,” katanya yang meminati genre muzik asli tradisional.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.