Berita Terkini
recent

Vincent mula rasai cabaran dunia lakonan

Berjaya mencuri tumpuan selepas membintangi filem Peransang Rentap, pelakon baru Vincent tidak pernah menyangka dunia lakonan sangat mencabar.

Vincent atau nama penuhnya Vincent Mallang Alfred, 24, masih terlalu mentah ketika mendapat tawaran itu lebih-lebih apabila diberikan watak utama.

Walaupun bimbang, tetapi Vincent bersyukur kerana memperoleh pengalaman baru itu. Baginya, belum cuba belum tahu.

“Saya memang tiada asas dalam berlakon filem. Sebelum ini adalah berlakon untuk video klip, tetapi ia amat berbeza dengan produksi filem.

“Saya memang bimbang jika lakonan tidak menjadi. Tambahan pula filem itu akan ditayangkan di seluruh negara,” katanya.

Menurut Vincent, dia beruntung kerana pihak produksi tidak pernah lekang memberi tunjuk ajar. Hari demi hari, dia mula yakin dengan lakonannya setiap kali penggambaran.

Vincent berkata, dia tidak pernah meletakkan had dalam hidupnya dan mengakui mencabar diri dengan menceburi bidang lakonan.

“Sejak belajar di kolej, saya memang aktif dengan pelbagai aktiviti. Saya sudah cuba bidang peragaan, pencarian bakat, ‘male pageant’ dan sebagainya tetapi berlakon saja belum.

“Saya tidak pernah mahu berkata tidak kepada sebarang cabaran. Saya lebih suka mencuba dulu daripada awal-awal berkata tidak boleh,” katanya.

Anak jati Kuching, Sarawak berketurunan Bidayuh-Kayan ini juga mengakui banyak perkara mengenai dunia lakonan membuka perspektif baru di matanya.

Ia jelas menuntut kesabaran tinggi dan kekuatan minda.

“Berada hampir sehari di set penggambaran dan perlu bangun awal pagi untuk memulakan penggambaran memang sangat mencabar. Kalau tidak kuat semangat pasti susah untuk menjadi pelakon.

“Tidak hairanlah pelakon mendapat bayaran tinggi kerana perlu setimpal dengan keringat serta masa dikorbankan. Paling penting, kita juga kena bersedia dengan segala kemungkinan walaupun terpaksa menunda penggambaran,” katanya.

Selepas filem itu, Vincent tidak pasti sama ada mahu meneruskan kerjaya lakonan.

Menjadi jurulatih kecergasan sepenuh masa sebagai kerjaya tetap sekarang, dia ingin fokus kepada bidang itu.

“Memang seronok menjadi pelakon. Banyak perkara baru yang kita boleh tahu.

“Saya mahu menambah pengalaman dalam berlakon tetapi sekarang perlu benar-benar sesuai dengan aturan masa. Namun, saya sentiasa bersedia dengan sebarang tawaran.

“Lagipun, saya kini sedang mengembangkan perniagaan dalam bidang kecergasan. Saya bersyukur kerana akhirnya mendapat hala tuju tepat dalam hidup iaitu menjadi jurulatih kecergasan,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.