Berita Terkini
recent

TRW ambil langkah drastik gugurkan separuh muka lama

KELANTAN mengambil langkah drastik menggugurkan separuh muka lama dalam usaha memperkasakan semula pasukan itu untuk kembali bersaing secara kompetitif dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Antara pemain yang dilepaskan adalah Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Daudsu Jamaludin, Zairul Fitree Ishak, S Subramaniam, Mohamad Ab Aziz Ismail, Hasmizan Kamarodin, Hattaphon Bun An dan penjaga gol veteran, Mohd Shahrizan Ismail.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, hanya 14 pemain termasuk enam yang dipinjamkan ke pasukan lain musim lalu sah menyarung jersi The Red Warriors (TRW) musim depan.

Pemain yang dikekalkan adalah penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail dan Mohd Faris Shah Rosli manakala lima pemain Piala Presiden dinaikkan taraf sertai skuad senior itu.

“Untuk persiapan menghadapi Liga Super, kita telah minta pemangku jurulatih, Sathit Bensoh bersama panel pemilihan beri cadangan dan saya rasa hanya 20 peratus pemain senior dikekalkan.

“Pemain yang dilepaskan bebas mencari pasukan baru. Kita beri peluang kepada pemain Piala Presiden dan boleh dikatakan majoriti pasukan ini terdiri daripada pemain muda, pada musim depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat exco badan induk itu di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan dan Penolong Setiausaha Agung, Kamarudin Mohamad.

Afandi berkata, status tiga lagi pemain ‘otai’ iaitu kapten, Mohd Badhri Radzi, Mohd Norfarhan Muhammad dan Indra Putra Mahayuddin masih belum dimuktamadkan. 

“Tiga pemain ini masih berunding dengan kita. Mungkin dalam masa terdekat kita akan dapat jawapan kerana pasukan ini akan memulakan latihan, 20 November ini,” katanya.

Afandi turut mengumumkan Kelantan hanya berminat mengekalkan pemain import Perancis, Morgaro Gomis manakala khidmat Abou Bakr Al-Mel dan Seydi L’Imam besar kemungkinan ditamatkan sekalipun kontrak mereka masih berbaki hingga tahun depan. 

“Mesej kita, hendak cari pemain import berkualiti. Kita tahu Bako (Abou Bakr) dan Seydi ada kontrak tetapi sekarang kita akan usahakan (tamatkan secara persetujuan bersama). Kalau pemain berkualiti boleh ganti mereka, kita akan selesai,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengesahkan pertahanan kidal, Mohd Qayyum Marjoni Sabil mencari haluan baharu dengan menyertai pasukan lain, pada musim depan.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.