Berita Terkini
recent

Tragedi Natrah dari sisi Mansor Adabi

MUNGKIN ramai yang masih ingat kisah seorang gadis Belanda, Natrah yang pernah menggemparkan Tanah Melayu sekitar tahun 1950-an apabila dia dipisahkan secara paksa daripada ibu angkat dan suaminya menerusi satu keputusan mahkamah.

Lebih menyedihkan, Natrah juga khabarnya murtad selepas kejadian tersebut menyebabkan kemarahan orang ramai memuncak dan akhirnya bangkit menentang.

Akibat kejadian itu berlaku rusuhan besar di Singapura pada 12 Disember 1950 menyebabkan ramai yang cedera dan terbunuh.

Selain kekal dalam lipatan sejarah, kisah tragis ini turut dikongsi menerusi pelbagai medium sama ada tulisan, drama mahupun pementasan dengan fokuskan kepada latar belakang dan konflik yang dilalui gadis malang ini.

Terbaru, kisah ini sekali lagi mendapat perhatian melalui pementasan bertajuk Rusuh – Nadra terbitan Pusat Kebudayaan Universiti Malaya dan Wave Art Studio dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bagaimanapun, naskhah yang dibangunkan daripada tulisan terbaru A Wahab Hamzah dan arahan Aris Othman ini mengambil pendekatan berbeza apabila memfokuskan pengisahan dari perspektif suami Natrah iaitu Mansor Adabi.


Pendekatan ini menjadi lebih menarik kerana tidak ramai yang tahu keadaan dan perasaan sebenar Mansor ketika berdepan dengan hakikat kehilangan Natrah tanpa kerelaan hatinya ketika itu.

Tidak sekadar itu, naskhah ini juga menonjolkan watak terlibat menggerakkan protes terhadap penjajah pada masa itu seperti Karim Ghani, Dr, Burhanuddin Helmi, M A Majid dan lain-lain.

Latar penceritaan Rusuh-Nadra ini bermula pada minggu sebelum keputusan mahkamah diumumkan sehingga beberapa tahun selepas kejadian itu.

Bagaimanapun, pementasan yang bakal berlangsung di Panggung Eksperimen Universiti Malaya pada 23 hingga 26 November ini berdiri atas sifat akademik selain menceritakan sejarah yang pernah berlaku.

Perjuangan menuntut keadilan

Menurut Khai Sabri, penerbit dan juga pelakon utama yang memegang watak Mansor Adabi, naskhah ini dipilih kerana keistimewaan jalan ceritanya daripada kisah benar dan begitu dekat dengan orang Melayu dan Islam khususnya.

“Idea pementasan naskhah ini datangnya daripada pengarah sendiri, Aris Othman dan ia menjadi kenyataan dengan tulisan A Wahab Hamzah yang sangat menarik dan berbeza menerusi penceritaan dari sisi Mansor Adabi yang tidak pernah ditampilkan secara jelas sebelum ini.

“Saya difahamkan naskhah ini mengambil masa lama untuk disiapkan kerana memerlukan banyak kajian dan rujukan bagi melengkapkan jalan penceritaan.

“Kalau sebelum ini kebanyakan naskhah memberi fokus secara keseluruhan kepada Natrah, tetapi kali Natrah hanya tampil menerusi satu babak sahaja," jelasnya.


Menurut Khai yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Karnival Teater Universiti Malaya 2017 ini, persiapan dan latihan untuk pementasan ini berlangsung hampir dua bulan bermula September lalu.

“Menjayakan watak sebagai Mansor Adabi tentunya tidak mudah bagi saya kerana ia benar-benar wujud dan dikenali dalam sejarahnya.

“Antara yang paling mencabar adalah untuk mendalami perasaan Mansor ketika dan selepas dipisahkan dengan Natrah. Ia bukanlah perkara mudah untuk menunjukkan kesedihan seorang lelaki yang kehilangan isteri secara paksa, ” ujar Khai.

Selain itu, naskhah ini turut dibarisi Azrin Ahmad, Adriana Tan, Danny Alamsyah, Yusmar Afeendi, Syafiq Ahmad, Rosli Rahman Adam, Nik Shamil, Faiz Malik, Zayrul Iqwan Rosli, Aim Zackry dan Rachel AF 2015.

Peminat teater boleh mendapatkan tiket pementasan berharga RM20 dan RM10 (pelajar dan OKU) di kaunter Panggung Eksperimen.

Sinopsis

Natrah adalah anak Belanda yang diambil sebagai anak angkat oleh Che Aminah, seorang ahli perniagaan berasal dari Terengganu. Natrah diserahkan oleh ibu kandungnya, Adeline kepada Che Aminah semasa perang dunia kedua di mana ketika itu dia menghadapi kesempitan hidup.

Natrah dipelihara oleh Che Aminah dalam suasana Islam dan juga kemewahan dan dalam usia 13 tahun dikahwinkan dengan Mansor Adabi, anak seorang penulis dan intelektual Kelantan yang terkenal.

Perkahwinan tersebut dan tuntutan semula Natrah oleh ibunya menjadi kes perbicaraan yang menjadi titik tolak peristiwa rusuhan Natrah di Singapura.

Sepanjang perbicaraan dan juga rusuhan telah memberi kesan besar kepada bukan sahaja Che Aminah, Natrah dan Mansor, tetapi juga kepada sekumpulan pejuang Melayu dan Islam yang telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Natrah.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.