Berita Terkini
recent

Tony Memmel beri galakan menerusi petikan gitar

SEKALI pandang, agak janggal apabila melihat pemain gitar ini melekatkan pemetik gitar pada hujung sikunya yang kudung dengan menggunakan pita pelekat yang besar bagi memastikan pemetik gitar itu berada tetap di tempatnya.

Namun pandangan janggal itu sebaliknya bertukar menjadi kagum setelah mendengar petikan gitar merdu mengiringi dendangan lagu yang girang untuk meniupkan semangat dan memberi galakan kepada insan lain.

Jejaka hebat ini ialah Tony Memmel, penyanyi dan penggubah lagu berusia 31 tahun, yang menggambarkan dirinya sebagai  'dikurniakan anugerah terhebat' dan menjadikan kata-kata semangat serta galakan kepada insan lain yang dilahirkan dengan kecacatan, sebagai kerjayanya sepenuh masa.

Menurutnya, mempunyai kebolehan untuk menggubah lagu merupakan peluang kepadanya untuk menyumbang, selain memberi kebebasan untuk membantu insan lain yang dilahirkan dengan kekurangan fizikal, sama seperti dirinya.

“Saya sendiri mempunyai semangat untuk membantu kanak-kanak dan sesiapa saja yang memerlukan sedikit perangsang.

“Saban hari, anda ada peluang untuk menyumbang, jadi saya anggapkan muzik sebagai peluang untuk saya memberi sumbangan.

"Saya berpendapat memberi sumbangan memang sudah pun tertanam dalam minda seseorang ahli muzik di samping mempunyai etika kerja, yang membantu saya mengejar impian untuk menjadikan muzik sebagai kerjaya saya,” katanya dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

Dilahirkan tanpa tangan kiri dari siku ke bawah bukanlah penghalang untuk membuktikan kepada orang lain, yang juga dilahirkan dengan kecacatan, bahawa ketabahan akan mengatasi segala-galanya.

“Saya tanamkan semangat untuk menggalakkan mereka menghadapi cabaran, dengan menunjukkan cara saya bermain gitar dan mengambil peluang berinteraksi dengan orang ramai.

“Saya mahu tunjukkan kepada mereka, walau apa juga perbezaan yang ada: dalam matematik, sains, sukan, muzik atau apa saja, harapan saya hanyalah agar mereka bekerja keras dan tahu bahawa mereka juga ada tujuan untuk turut sama menyinar di dunia ini,” katanya.

Tony bersama-sama kumpulan  muzik ‘Tony Memmel and His Band’ yang dianggotai isterinya, Lesleigh Memmel, 32, dan Joey Wengerd, 29, berkongsi impian bahawa muzik seharusnya dinikmati semua tanpa mengira usia dan keupayaan.

"Apa yang paling kami inginkan hanyalah  memberi persembahan terbaik, bengkel atau konsert yang meninggalkan kesan bermakna kepada penonton, tak kiralah apa pun kecacatan mereka," katanya.

Antara lagu yang dipersembahkan kumpulan mereka hampir setiap hari ialah 'Stand By Me', dan 'Lean on Me', serta beberapa lagu hasil gubahan Tony sendiri, di samping 'Lucky Fin Song' iaitu lagu yang diajar dan dinyanyikan untuk anak-anak yang dilahirkan cacat sama seperti dirinya sendiri.

"Ia berdasarkan filem ‘Finding Nemo’, dan seperti yang anda tahu, Nemo adalah watak utama yang dilahirkan dengan sirip kecil, bapanya menggelarkan ‘sirip bertuah’, dan Nemo melakukan pelbagai perkara yang menakjubkan dan ia memberi inspirasi kepada saya.

"Nemo menjadi wira kepada kanak-kanak hari ini, terutamanya yang cacat, dan saya menulis lagu ini semata-mata untuk memberi galakan kepada mereka. Kami mempersembahkan lagu itu di seluruh Asia Tenggara dalam lawatan kami,” jelasnya.

Trio dari Nashville, Tennessee di Amerika Syarikat, itu sedang menjelajah ke Asia Tenggara selama 39 hari, dan memulakan perjalanan mereka dari Singapura sebelum datang ke Malaysia, dan akan meneruskan perjalanan mereka ke Indonesia, Kemboja, dan Taiwan.

Mereka ditemui di sini baru-baru ini sebelum mengadakan persembahan di ibu pejabat Persatuan Cerebral Palsy Johor, yang dihadiri kira-kira 300 kanak-kanak spastik dan pelajar beberapa buah sekolah di sekitar Johor Bahru, di sini, hari ini.

Kunjungan mereka itu dibawa khas oleh Biro Pendidikan dan Hal Ehwal Budaya Jabatan Negara Amerika Syarikat yang bergabung dengan American Voices untuk mendekati khalayak antarabangsa di seluruh dunia menerusi Program Muzik Luar Negara Amerika.

American Music Abroad adalah program pertukaran budaya rakyat dan rakyat yang direka untuk menyampaikan sumbangan muzik sertakepelbagaian budaya Amerika yang ke persada muzik global.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.