Berita Terkini
recent

Tombiruo raih RM8 juta, filem kedua terlaris 2017

FILEM Tombiruo: Penunggu Rimba terus melebarkan jumlah kutipan tiket apabila berjaya memperoleh RM8 juta selepas empat minggu ditayangkan di pawagam seluruh negara dan Singapura serta Brunei, sejak 12 Oktober lalu.

Situasi itu sekali gus meletakkan filem terbitan Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan ini berada di kedudukan kedua dalam mengaut kutipan tiket paling tinggi bagi tahun 2017 selepas filem Abang Long Fadil 2 terbitan Astro Shaw dan Skop Productions yang memperoleh RM18 juta.

Filem aksi yang diadaptasi dari novel thriller karya Ramlee Awang Murshid ini masih ditayangkan di 68 pawagam untuk minggu ke lima.

Justeru, pihak penerbit juga berharap filem ini masih mampu menarik penonton untuk menyaksikannya di pawagam.

Filem menggandingkan pelakon Zul Ariffin dan Farid Kamil buat kali kedua di layar perak ini turut membariskan pelakon hebat seperti Nabila Huda, Faizal Hussein, Farah Ahmad, Artu, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Datuk M Nasir, Datin Marlia Musa, Faye Khusyairi, Dynas Mokhtar dan adik Muhammad Al-Rayyan.

Tombiruo: Penunggu Rimba memaparkan kisah Ejim digelar sebagai Tombiruo kerana dianggap sebagai penunggu rimba.

Lelaki yang sentiasa bertopeng ini disisihkan oleh penduduk kerana memiliki wajah bukan manusia.

Apabila satu insiden yang tragis berlaku pada Tombiruo, ia telah menimbulkan kemarahannya dan dendam.

Sementara itu, Amiruddin menganggap Tombiruo sebagai punca keperitan hidup keluarganya dan mula menjejaknya.

Pergelutan di antara mereka berlaku demi menegakkan kebenaran masing-masing.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.