Berita Terkini
recent

Tombiruo ibarat Asian Superhero

BAGI anda yang telah menonton filem Tombiruo: Penunggu Rimba terbitan Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan, pastinya anda bersetuju jika Gempal katakan bahawa filem ini merupakan sebuah filem yang harus dibanggakan oleh kita semua. 

Justeru, jika anda masih belum menontonnya, anda harus mencari masa kerana sangat rugi jika tidak menyaksikan dan merasai sendiri kehebatan filem ini di pawagam, yang pastinya lebih memberi kepuasan.   

Kalau Gempal tengok Tombiruo di kaca TV, tentu tak puas sebab di pawagam sudah pasti layar lebar dan sistem bunyinya membuatkan suasana filem tersebut menjadi lebih real. 

Jadi carilah masa dan pergilah menonton di pawagam kerana Tombiruo telah pun memasuki lebih dua minggu tayangan di pawagam seluruh tanah air serta Singapura dan Brunei. 

Tidak dinafikan, saingan semakin sengit dengan kemunculan filem luar negara, namun Gempal difahamkan penerimaan penonton terhadap filem ini terus positif. 

Buktinya, filem adaptasi daripada karya novelis thriller nombor satu Malaysia, Ramlee Awang Murshid telah meraih lebih RM7 juta dalam tempoh 18 hari menerusi 117 pawagam. Wow hebat tu! 

Gempal juga difahamkan bahawa pihak penerbit masih lagi aktif dalam mempromosikan filem ini dengan lebih giat untuk terus bersaing menawan hati rakyat Malaysia yang masih belum menontonnya. 

Pun begitu, syukur kerana filem ini terus mendapat sokongan penonton serta pihak pawagam yang masih menayangkan filem Tombiruo ini. Jelas, filem tempatan masih diberi keutamaan. 

Gempal juga berharap dengan mutu kualiti yang berlainan yang dipersembahkan dalam karya tempatan sebegini, ia mampu menjadi faktor untuk menarik penonton pelbagai kaum. Tombiruo bukan filem untuk orang Melayu sahaja, bukan juga untuk orang Sabah tetapi adalah untuk semua pencinta filem. 

Aksinya, jalan ceritanya, pemandangannya, pelakonnya, kostumnya, efeknya, muziknya; pendek kata segala-galanya yang disajikan adalah terbaik.

Maka tidak hairanlah apabila Tombiruo terus mendapat pujian demi pujian daripada orang-orang seni sendiri yang kagum dengan penghasilannya. 

Ramai juga yang berkata bahawa filem ini boleh pergi lebih jauh. 

Gempal sedari awal lagi sudah menjangkakan bahawa Tombiruo cukup layak untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

Oleh itu, langkah penerbit mengambil langkah berani dengan bekerjasama dengan AMP International untuk memasarkan filem ini ke peringkat antarabangsa secara world wide, sangat Gempal sokong. 

Apatah lagi apabila dikatakan oleh Pengarah Jualan Global dan Pengambilalihan di AMP International, James Norrie mengatakan  penerbit serta pengarah filem Tombiruo iaitu Seth Larney telah berjaya menghasilkan sebuah filem berbentuk ‘Asian Superhero’. 

Dan sebagai rakyat Malaysia, Gempal juga tumpang bangga jika filem ini mendapat pengiktirafan di luar negara.  Sekali gus membuktikan bahawa Malaysia juga jaguh dalam penghasilan filem-filem bermutu. 

Tombiruo: Penunggu Rimba memaparkan kisah Ejim digelar sebagai Tombiruo kerana dianggap sebagai penunggu rimba. Lelaki yang sentiasa bertopeng ini disisihkan oleh penduduk kerana memiliki wajah bukan manusia. Apabila satu insiden yang tragis berlaku pada Tombiruo, ia telah menimbulkan kemarahannya dan dendam.

Sementara itu, Amiruddin menganggap Tombiruo sebagai punca keperitan hidup keluarganya dan mula menjejaknya. Pergelutan di antara mereka berlaku demi menegakkan kebenaran masing-masing.

Saksikan filem Tombiruo di pawagam di seluruh negara. Layari laman sesawang www.tombiruomovie.com serta laman sosial Facebook, Twitter, Instagram serta YouTube untuk berita dan informasi terkini. Pengguna laman sosial boleh menggunakan tanda pagar #tombiruo, #tombiruomovie dan #penunggurimba sebagai tanda sokongan.

Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.