Berita Terkini
recent

Terpengaruh gaya pensyarah

GARA-gara terpengaruh dengan gaya seorang pensyarah, Akma Suriati Awang terbabit sebagai pereka kostum atau busana, sejak hampir 30 tahun lalu.

Ketika itu, anak kelahiran Dungun, Terengganu ini juga sedang menuntut dalam bidang fesyen di Institut Teknologi Mara (ITM) (kini Universiti Teknologi Mara (UiTM)) pada 1986.

“Asalnya, saya nak jadi pelukis, tapi keadaan kesihatan tak mengizinkan.

“Jadi ada yang sarankan agar saya ambil bidang fesyen sedangkan saya tak minat. Lagipun, saya memang tak pandai menjahit,” katanya pada Sinar Harian.

Bukan itu sahaja, Akma juga berani, berketerampilan dengan gaya aneh dan pelik sekali gus menarik perhatian orang lain.


“Saya tak tahu kenapa, tapi saya memang suka berketerampilan pelik.

“Pernah saja saya potong rambut sebelah senget malah ditahan beberapa kali kerana mewarnakan rambut sampai berbelang-belang ketika menuntut.

“Mungkin, keadaan itu yang menyebabkan ada pensyarah menyuruh saya untuk ambil dalam bidang fesyen,” katanya sambil tertawa.

Pun begitu, wanita berusia 51 tahun mula berfikiran terbuka apabila melihat sendiri pensyarahnya, Prof Madya Mohammad Najib Mohd Nor menyediakan kostum untuk filem Hollywood, Goodbye Soldier.

“Awalnya, saya memang tak yakin. Tapi, minda saya mula terbuka luas mengenai bidang ini apabila ada dorongan daripada beliau. “Sejak itu, saya merasakan ia sebagai satu kerjaya yang seronok untuk diterokai. Jujurnya, beliau memberi ‘sesuatu’ yang baru pada saya.

“Kebetulan pula, saya juga dah terlibat dalam bidang teater terutama di belakang tabir sejak zaman sekolah lagi. Ayah saya walaupun guru tapi dia juga merupakan pelakon bangsawan,” katanya.

Memahami kostum, busana

Mengulas lanjut mengenai karier, Akma berpendapat seseorang yang mahu terbabit sebagai pereka kostum atau busana perlu memahami perbezaan di antara kedua-duanya.

“Ingin saya jelaskan, kostum dan busana ialah dua perkara yang berbeza.


“Busana ialah pakaian harian dan tradisional manakala kostum pula yang direka khas untuk karakter yang ada dalam naskhah, skrip ataupun dikehendaki,” katanya.

Justeru, katanya, pereka kostum perlu duduk berbincang dengan pengarah dan pereka produksi dalam menghasilkan sesuatu kostum.

“Contohnya, saya mereka kostum untuk watak Hang Tuah, saya perlu baca skrip dan analisis karakter seperti tentukan tona warna yang sesuai dengan pengarah dan pereka produksi. Apabila dah dipersetujui bersama, barulah saya akan design,” katanya.

Bahkan, katanya, rekaan kostum untuk filem dan teater juga berbeza.

“Oleh kerana teater ditonton dalam jarak 200 meter, jadi kostum itu perlulah lebih besar malah teknik pengcahayaan juga memainkan peranan.

“Sebab itu, saya kena berbincang dengan semua kru yang terlibat dan ia juga bukanlah satu kerja yang mudah,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pereka kostum juga perlu rajin melakukan kajian terutamanya terhadap teknik pengcahayaan, karakter dan pergerakan.

“Lagipun, kostum bertindak sebagai ekspresi media yang boleh membantu satu-satu karakter itu dan ia mestilah ada keasliannya.

“Sebab itu, kita kena banyak membaca, tonton cerita, buat pelbagai kajian selain digalakkan untuk melihat sesuatu yang berbeza bagi membantu untuk menjadi lebih kreatif,” katanya.

Sehingga hari ini, pemilik Couture Classics (M) Sdn Bhd ini sudah menghasilkan lebih 50 rekaan kostum untuk filem dan teater sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa.

Antaranya adalah Jogho, Interchage, Lang Buana, Rock Oo, Femina, Black Widow, Lurah Dendam, Anna & The King, Sara, Marco Polo, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Zaleha Ayam Patah dan Hanyut.

Teater pula ialah Siti Di Alam Fantasi, Hikayat Malim Deman, Skin Our Own, Spring in KL (Japan), Puteri Gunung Ledang, Chow Kit Road dan Dendam Laksamana.

“Saya juga terlibat dalam mereka kostum untuk industri hiburan seperti Citrawarna, maskot, Festival Flora, Sukan Sea dan iklan TV.

“Alhamdulillah, saya seronok dengan kerja yang dilakukan. Bagi saya, ia perlulah dibuat dengan ikhlas malah saya tak kisah orang tak kenal saya, asalkan orang kenal hasil kerja saya,” katanya yang pernah memenangi Pereka Kostum Terbaik untuk naskhah Puteri Gunung Ledang dan Hanyut.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.