Berita Terkini
recent

Teater Tradisional Jikey, Raja Naga Berapi

PANGGUNG Seni Tradisional (PST) adalah medium persembahan Kesenian Tradisional Malaysia yang autentik dan klasik. la dilaksana secara berjadual di Kuala Lumpur sejak  2013.

PST bertujuan memberi peluang kepada pelancong dan peminat kesenian tradisional menyaksikan persembahan di samping memupuk minat dan mencintai seni.

Sehingga 2016, program ini sudah mementaskan 25 kesenian tradisional merangkumi tiga genre iaitu tari, muzik dan teater melibatkan 50 kumpulan kesenian.

Antara yang menarik perhatian dalam PST tahun ini adalah persembahan teater tradisional Melayu Jikey yang kini semakin jarang dipertontonkan kepada umum, malah hampir pupus kerana tidak mendapat perhatian dan sokongan generasi muda.

Teater Tradisional Jikey yang dipercayai berasal dari India ini cukup terkenal dalam kalangan penduduk utara semenanjung khususnya di negeri Kedah dan Perlis menerusi dua versi iaitu Jikey Kedah serta Jikey Langkawi.

Jikey amat popular sekitar l960-an dan menampilkan ciri-ciri tempatan dengan menggabungkan muzik, nyanyian, tarian dan lakonan yang menghiburkan disulami dialog lucu.

Struktur persembahan Jikey mempunyai persamaan dengan persembahan Makyung dan Mek Mulung, namun yang membezakan persembahan tersebut adalah bahasa (loghat), busana, kisah dan watak serta latar belakang cerita yang lebih berkisarkan rakyat biasa.

Jikey dianggap sebagai folks cultural atau cerita rakyat dalam masyarakat tradisional dan ia dipersembahkan dalam bentuk teater keliling menggunakan gelanggang yang dibina di atas tanah bagi memudahkan penonton menyaksikan persembahan yang di pentaskan.

Bagaimanapun Jikey kini melalui proses transformasi untuk disesuaikan dengan masyarakat hari ini dan memudahkannya dipersembahkan di pentas terbuka.

Demi memelihara kesenian ini agar terus hidup dan terpelihara, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) membawakan teater tradisional Jikey - Raja Naga Berapi untuk mengisi slot PST 2017.

Persembahan yang berlangsung selama dua hari di Dewan Tunku Abdul Rahman, MaTiC, Jalan Ampang  pada 27 dan 28 Oktober lalu mendapat sambutan  memberangsangkan daripada penonton.

Tampil elemen moden

Teater Jikey Raja Naga Berapi dipersembahkan oleh kumpulan Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (AKRAB Kedah) di bawah bimbingan pengarah teater terkenal Saipol Bahari Mohd Iman.

Menurut Saipol, meskipun persembahan Jikey hari ini bukanlah 100 peratus asli daripada struktur asalnya, namun kesenian ini masih di dalam acuan yang sama menurut penceritaan tokoh terdahulu.

“Kalau diikutkan memang tidak ada generasi hari ini yang tahu atau menonton Jikey asli kerana kesenian ini diwarisi menerusi penceritaan daripada tokoh terdahulu dan kemudiannya dibina semula menerusi ciri-ciri yang dinyatakan.

“Ia sebenarnya masih lagi dalam proses yang belum betul-betul lengkap. Ada bahagian tertentu yang boleh diperbetulkan untuk menjadikannya lebih menarik.

Katanya, kini kesenian itu tidak lagi memaparkan keasliannya 100 peratus supaya mudah diterima dan difahami.

Mengambil kira faktor tersebut, persembahan Teater Tradisional Jikey - Raja Naga Berapi yang dipentaskan baru-baru ini tampil dengan elemen moden yang cukup menarik dan menghiburkan.

“Sebelum ini kita buat cerita tentang Tuan Keling sahaja, namun kali ini ia bersambung dengan kisah Raja Naga Berapi yang tampil dengan pelbagai konflik yang lebih menarik.

“Adab dan struktur penceritaannya masih lagi sama, cuma dialog yang ditampilkan lebih moden selain menyelitkan isu semasa yang sesuai dengan situasi masyarakat hari ini.

“Penampilan Pakyong, Rosnan Abd Rahman dan pelakon Siti Fazurina juga menjadi salah satu tarikan untuk persembahan kali ini yang ternyata lebih segar dan menghiburkan untuk ditonton,” katanya lagi.

*SINOPSIS: Tuan Keling telah berlabuh dengan kapal bagi tujuan berdagang dan dibawa oleh dua Awang untuk berjumpa dengan raja untuk mendapat kebenaran. Raja kemudiannya menitahkan Awang membawa Tuan Keling pergi berjumpa dengan isteri Ah Seng untuk urusan perniagaan tersebut.

Sementara itu, Raja Langkasuka dan Permaisuri pula terlalu menginginkan zuriat untuk mewarisi takhta kerajaan mereka namun hasrat itu masih belum menjadi kenyataan.

Suatu hari, Raja Langkasuka keluar memburu di hutan sambil ditemani oleh Awang Pengasuh dan Awang Selamat untuk menghiburkan hatinya.

Semasa berada di hutan baginda telah bertemu dengan Raja Naga Berapi dan telah membuat perjanjian jika Raja Naga Berapi untuk mendapatkan zuriat.

Perjanjiannya ialah sekiranya Raja Langkasuka berjaya memperoleh seorang puteri, ketika genapnya usianya 20 tahun, baginda perlu menyerahkan puteri itu kepada Raja Naga Berapi untuk dikahwinkan.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.