Berita Terkini
recent

Tak lupa bidang lakonan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Adik doakan semoga hari yang indah ini kalian mendapat rahmat daripada Tuhan Yang Maha Esa dengan limpahan rezeki.

Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini rezeki adik dalam bidang nyanyian tidak putus-putus diterima. Ada saja tawaran persembahan yang perlu adik jayakan. Tidak kiralah persembahan berskala besar ataupun kecil.

Paling terbaharu, adik baru saja mengadakan persembahan di Anugerah Skrin 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jumaat lalu.

Berdebar juga rasanya sebab kali pertama menyanyi lagu rock secara live dan Bring Me To Life bukan lagu yang mudah untuk dinyanyikan.

Namun begitu, syukur ke hadrat Ilahi. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun adik sakit tekak lepas nyanyi lagu itu!

Sebelum itu, adik juga berpeluang bertanding untuk Semi Final Muzik-Muzik 32 (SFMM32) menerusi lagu Mata.

Jujur adik akui setiap kali melakukan persembahan pentas, jantung adik berdegup kencang kerana tidak tahu apakah cabaran serta ‘gangguan’ akan adik tempuh sepanjang persembahan itu.

Namun adik berdoa dan kuatkan semangat berdepan dengan orang ramai. Adik sentiasa ingatkan dalam diri lakukan persembahan terbaik demi peminat.

Penting bagi adik menghargai peminat kerana mereka tidak henti-henti menyokong dan mahu melihat kelainan dalam setiap persembahan adik. Rasa nak menangis setiap kali nampak muka gembira peminat selepas menyaksikan persembahan adik di SFMM32 itu.

Apapun, adik ingin memohon maaf kalau ada kekurangan dalam persembahan tempoh hari. Insya-Allah akan adik perbaiki sedikit demi sedikit.

Percayalah untuk berdiri di atas pentas dan membuatkan persembahan kurang dari lima minit bukan tempoh yang mudah.

Banyak perkara yang bermain di fikiran tetapi adik beranikan diri dan lakukan sehabis baik. Dengan jadual yang padat, adik kena betul-betul susun satu persatu perkara mana yang harus adik utamakan seperti latihan menari, vokal termasuk aspek persiapan pentas.

Itu belum lagi adik kena fikirkan pakaian untuk penari. Segala persiapan memang adik buat semuanya termasuk beli sendiri kerana mahukan yang terbaik.

Bukan apa, adik percaya setiap penghasilan yang baik pasti akan mendapat ganjaran di kemudian hari. Walaupun terpaksa berhabis ribuan ringgit menyediakan kelengkapan persembahan, adik tidak pernah ambil pusing kerana adik nak peminat adik berbangga.

Apatah lagi ada juga kalangan peminat sudi menjadikan adik sebagai idola mereka. Chewah! Ada ke yang sayang adik?

Melihat kelibat adik yang semakin aktif dalam persembahan pentas, pasti ramai beranggapan adik sudah tidak minat berlakon.

Eh Eh! Jangan cakap macam tu. Adik tidak pernah melupakan bidang lakonan, cuma rezeki nyanyian ini datang dengan mendadak.

Terus-terang, Hazama pada adik boleh dianggap sebagai abang dalam industri hiburan. Banyak nasihat dan pendapat sudah dikongsinya dengan adik. Terima kasih Bama!

Walau tak dapat berentap di atas pentas Akademi Fantasia 9 (AF9) dulu sebab adik terkeluar awal, namun dia (Hazama) tak lokek ilmu.

Senior macam ini yang kita perlukan. Adik dan Hazama sempat juga berduet lagu Senja Nan Merah. Maklumlah lagu pilihan Hazama sebenarnya.

Adik pula pertama kali menyanyikan lagu itu, tak tidur tau takut dibuatnya! Apa lagi nak kena berduet dengan Bama pula.

Alhamdulillah tontonan lagu terbabit juga semakin tinggi. Rata-rata penonton di Facebook HotFM memberi komen positif.

Malah jumlah tontonan mencecah lebih sejuta dalam tempoh yang singkat, begitu juga dengan jumlah di ruangan komen mencecah empat ribu serta lebih 26 ribu yang kongsi ‘link’ video itu.

Bagi adik, ini satu pencapaian membanggakan. Adik dapat membuka mata orang yang pernah membenci dan kutuk adik.

Apa pun adik tak mahu terlalu selesa dengan pujian kerana banyak lagi harus adik perbaiki. Macam adik katakan dalam Instagram (IG) adik ‘Yang kuat dan bagus mungkin boleh menang tetapi yang berusaha untuk jadi bagus, sudah menang.’

Syukur dengan nikmat kurnia-Nya apabila adik masih dikekalkan sebagai duta telefon pintar jenama OPPO.

Sudah tiga tahun adik bekerjasama dengan Oppo dan sekalung tahniah kerana baru sahaja melancarkan model terbaru, OPPO F5 yang didatangkan dengan beberapa warna.

OPPO F5 ini juga ada fungsi ‘AI Beauty Recognition Technology’ di mana mampu mengesan tona kulit anda untuk memberi gambar yang semula jadi cantik.

Maksudnya kalau kita berswafoto, tak adalah nampak muka tu terlampau putih. Kadang-kadang ada foto yang dimuat naik di media sosial bukan main cantik tapi bila jumpa depan-depan, jauh bezanya.

Selain itu, OPPO F5 juga mempunya fungsi ‘Facial Unlock Technology’. Ini memang bagus sebab kalau kita dapat pegang telefon kekasih kita, tunjuk ke muka dia terus boleh buka telefon si dia!

Tak payah susah nak cari kata kunci. Senang kan? Oleh itu, hati-hati ya abang-abang semua, jangan buat hal. Hihi. #PerbaikiKelemahan
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.