Berita Terkini
recent

Syukur ditemukan jodoh: Jalaluddin

MENGAKUI mendapat ‘lampu hijau’ untuk berkahwin lagi, Datuk Jalaluddin Hassan bagaimanapun takut berterus-terang dengan keluarga terutama anak.

Aktor veteran berusia 63 tahun ini memberitahu, perasaan itu timbul lantaran wujud rasa bimbang akan reaksi yang bakal diterimanya nanti.

"Anak-anak memang tak halang saya berkahwin lagi. Malah, mereka rasa berdosa kalau biarkan saya bersendirian. Tapi, saya pun sebenarnya takut nak beritahu, sebab tak tahu apa reaksi mereka.

"Alhamdulillah, anak-anak terima keputusan saya seadanya," katanya pada Sinar Harian.

Pun begitu, Jalaluddin mengakui masalah utamanya adalah untuk meyakinkan bakal ibu mertuanya.

"Biasalah, nama pun artis, ibu mertua saya juga risau. Maklumlah, ramai girlfriend... (ketawa).

"Alhamdulillah, Lokman yang juga sahabat baik saya turut membantu meyakinkan emaknya sehingga terbuka hati untuk menerima saya," katanya sambil tertawa.

Pelakon filem Baginda ini memiliki lapan anak dan 14 cucu sepanjang mendirikan rumah tangga dengan Datin Hashimah Mat Ehsan, 40 tahun lalu.

Bagaimanapun, Hashimah meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada 5 November 2016.

Jalaluddin juga pernah berkahwin dengan pelakon sensasi, Ridani Ghani pada 1997, namun perkahwinan tersebut tidak mampu bertahan lama.

Kini, bintang filem XX-Ray ini kembali bergelar suami kali ketiga selepas menikahi wanita pilihannya, Rapidah Abd Ghani, 44, dengan sekali lafaz, Ahad lalu.

Pasangan ini dinikahkan abang pengantin perempuan, Lokman Abd Ghani yang juga aktivis teater di hadapan Penolong Pendaftar Nikah dan Imam 1 Masjid Bandar Tun Hussien Onn, Ustaz Mohd Faisal Mohd Noor.

"Alhamdulillah, saya tak dapat nak gambarkan perasaan saya. Saya harap isteri dapat kembalikan suasana keriangan dan keceriaan suasana rumah tangga kami bersama-sama anak cucu seterusnya memperoleh keberkatan," katanya.

Bahkan, sekali lagi bergelar suami, bintang filem Panggilan Pulau ini menyedari tanggungjawab berat yang harus dipikul.

“Saya sedar tanggungjawab saya berat, itu buatkan saya rasa sebak, namun bersyukur kerana sepanjang perkahwinan dengan arwah isteri, saya sudah melatih diri mengenai erti kesetiaan dan tanggungjawab.

"Saya jadi sebak ketika baca taklik kerana janji itu pada arwah, tetapi sekarang ia beralih kepada Rapidah," katanya.

Pada upacara itu, Jalaluddin menyerahkan RM300 sebagai mas kahwin manakala jumlah wang hantaran RM12,000.


Pengantin perempuan pula menyerahkan tujuh dulang hantaran manakala dibalas lima pihak lelaki termasuk sebuah kerusi urut berharga RM20,000.

Bakal tunai umrah

Berkongsi lanjut, Jalaluddin mengakui tertarik dengan Rapidah kerana wanita itu ingatkan dirinya kepada Allahyarham isteri.

"Pertama kali saya jumpa dia adalah di rumah terbuka abangnya, Lokman, pada Syawal lalu.

"Jujurnya, itulah pertama kali saya jumpa dia. saya lihat cara pergerakan, melayan tetamu, persis arwah isteri saya.

“Ketika itulah hati saya terdetik untuk kenalinya lantas memberi nombor telefon serta bergambar bersama-sama," katanya.

Dalam pada itu, Rapidah pula menyifatkan suaminya sebagai lelaki dan bapa yang jujur dan penyayang serta bertanggungjawab.

"Awalnya, memang tiada niat nak berkahwin pun, tapi bila dah berkenalan, saya lihat dia sangat penyayang dan bertanggungjawab.

"Malah, anak-anak saya pun setuju saya berkahwin lagi," katanya.

Dalam perkembangan lain, pelakon filem Magika ini turut merancang untuk membawa isterinya berbulan madu ke Moscow, Russia pada Disember ini.

Bagaimanapun hasrat itu ditolak Rapidah kerana isterinya itu ingin menghabiskan masa mengenali anak-anak dan cucu-cucunya demi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

"Katanya, inilah masa dia ingin mengenali anak-anak saya dan cucu-cucu.

"Lagipun, ketika itu pula musim cuti sekolah dah bermula.

“Tapi, jika tiada halangan, kami akan mengerjakan umrah pada Februari tahun depan. Insya-ALLAH,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.