Berita Terkini
recent

Sukses di peringkat global

KEBELAKANGAN ini, satu demi satu pencapaian membanggakan dilakar Noor Neelofa Mohd Noor. Sejak terjun dalam dunia seni lebih tujuh tahun lalu setelah memegang status Dewi Remaja 2009/10, nama dan figura bintang ini tidak pernah betah menjadi perhatian pencinta seni tempatan.

Setiap inci aktivitinya menjadi buah mulut ramai, lebih-lebih lagi apabila empayar niaga Naelofar Hijab kian berkembang seterusnya menjadi antara jenama islamik yang begitu sinonim di kalangan wanita berhijab.

Mengakui hasil usaha dan keringat selama ini turut diiringi berkat doa keluarga dan peminat, Noor Neelofa atau lebih mesra disapa Lofa bagaimanapun tidak pernah menjadikan apa yang dimiliki sebagai sesuatu yang harus dibanggakan seorang diri.

Sebaliknya, bintang berasal dari Kelantan ini optimis mahu berkongsi dengan memberi inspirasi terhadap semua orang di luar sana.

Terdahulu, Neelofa yang disenaraikan antara 300 individu terpilih dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017 telah pun melancarkan rangkaian tudung terbaru di bawah label Naelofar Hijab, Helena di Damansara Perdana, baru-baru ini.

Koleksi Helena diinspirasikan daripada wataknya menerusi drama 20 episod, Red Velvet di samping Alif Satar. Turut sama beraksi di dalam drama terbitan Cube Film Sdn Bhd itu ialah Hafidz Roshdi, Amira Othaman dan ramai lagi.

Bersikap positif

Tidak mudah melatah apabila ada menyifatkan kualiti lakonannya berada pada tahap ‘kayu’ oleh sesetengah netizen, Lofa yang mempunyai pengikut Instagram tertinggi di Malaysia itu juga menyeru penonton supaya menonton drama tersebut sehingga di kemuncak jalan cerita.

“Bagi saya, sesetengah daripada mereka membuat andaian terlalu awal. Jalan ceritanya masih di peringkat awal. Berilah peluang untuk watak tersebut berkembang terlebih dahulu. Lihat apakah konflik dan apakah seterusnya yang akan berlaku. Ada yang hanya tahu nak kritik sahaja tetapi tidak mahu ambil masa untuk digest betul-betul watak tersebut,” luah Lofa yang turut menambah, dia tidak kisah kritikan diterima kerana tidak beri kesan kepada kehidupannya.

Ditanya pendirian Lofa terhadap watak Helena yang mempunyai kisah cinta bersama lelaki berstatus suami orang di dalam drama tersebut, figura ini nyata relak dan positif. Terang Lofa, paparan kisah tersebut hanya di dalam episod pertama saja.


“Pada peringkat awal, saya bimbang juga kerana ia mungkin beri kesan kurang baik. Namun kami ada berbincang dengan pihak Astro untuk tidak papar kisah tersebut secara mendalam. Lagipun ia hanyalah untuk episod pertama saja. Pun begitu, saya gemar the fact  Helena sebenarnya sanggup ubah pendirian, tekad dengan keputusannya untuk enggan terima cinta itu,” tambah Lofa.

Kongsinya, walau apa pun yang terjadi kena kuat dengan prinsip.

Jangan lemah dan mudah kalah dengan pujukan lelaki. Meskipun Helena digambarkan sebagai gadis muda, namun dia tegas dengan pilihan dan pendirian.

Mahu ubah persepsi

Sementara itu, pengarah NH Prima International ini juga sebolehnya mahu mengubah persepsi sesetengah masyarakat global yang menyifatkan wanita bertudung sinonim dengan imej kolot dan tidak pandai bergaya.

Jelasnya, peredaran semasa menjadikan imej muslimah berhijab juga mampu bawa sesebuah jenama dengan baik dengan cara tersendiri.

Lalu pengiktirafan jenama antarabangsa, Lancome buatnya baru-baru ini nyata membuka minda ramai pencinta fesyen dan kecantikan di peringkat global. Neelofa merupakan satu-satunya wanita berhijab dari Asia yang terpilih sebagai wajah produk terkemuka dunia itu.

Berazam mahu mengubah stereotaip dan pandangan orang luar, Lofa turut merakamkan rasa terharu atas layanan baik yang diterimanya sepanjang pemergian ke Paris untuk bertemu dengan keluarga besar Lancome di sana.


“Daripada awal sehingga menjejakkan kaki ke Malaysia, layanan yang diberikan pada saya cukup memuaskan. Rasa dihargai dan paling tidak, sekurang-kurangnya saya turut mewakili wanita Malaysia, beragama Islam dan berhijab,” tambahnya.

Pada masa sama, Lofa tidak pernah sangka pendirian yang dibawa syarikatnya yang mahu mengubah persepsi terhadap fesyen muslimah berhijab juga telah membawanya ke Boston, Amerika Syarikat baru-baru ini untuk berkongsi mengenai fesyen di sidang kemuncak Forbes Under 30.

“Jika di Manila, saya ada masa 40 minit untuk beri ucapan. Sementara di Boston, saya hanya diberi masa 10 minit saja. Dalam tempoh itu saya cuba kongsi mengenai Fashioning The Future.

Meskipun berhijab, tapi masih boleh terlibat dalam bisnes, mengacarakan program hiburan dan masih bercakap mengenai muzik dan sebagainya,” akhiri Lofa optimis.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.