Berita Terkini
recent

Shila Amzah, Bapa Menang Saman

Dua wartawan Kumpulan Utusan gagal dalam kes samannya terhadap penyanyi Shila Amzah dan bapanya, N.D Lala apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin menolak saman mereka terhadap artis itu berhubung isu fitnah dalam sidang media kira-kira dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Firuz Jaffril menyatakan Shila atau nama sebenarnya Nurshahila dan bapanya, Amir Hamzah Salleh selaku defenden tidak mempunyai niat jahat terhadap plantif ketika membuat kenyataan.

“Saya mendapati sidang media itu dilakukan tanpa niat jahat, tujuan sidang media dijalankan juga jelas dan kenyataan yang dibuat pada acara tersebut tidak berbaur fitnah,” katanya.

Mahkamah menetapkan kos sebanyak RM30,000 yang perlu dibayar oleh plantif.

Firuz juga turut berkata kos yang diminta oleh defenden sebanyak RM100,000 juga keterlaluan selain berkata artis dan media saling memerlukan antara satu sama lain.

Dalam prosiding yang berlangsung pada Isnin, pihak plantif iaitu wartawan hiburan Kosmo!, Maliah Surip dan wartawan hiburan akhbar Utusan Malaysia, Mohd. Ifqdar Abdul Rahman diwakili peguam iaitu Ellia Zuraini Mat Zin serta Ummi Farhanah Mohd Nasir manakala Shila dan bapanya diwakili peguam, Mahendran Kumar.

Pada 17 Disember 2015, plantif memfailkan saman itu atas dakwaan kedua-dua defendan telah memfitnah mereka.

Menurut pernyataan tuntutan, pada 15 September 2014, sekeping gambar dengan kapsyen mempersoalkan media Melayu yang dikatakan lebih berminat menulis gosip berbanding pencapaian artis Melayu telah dimuatnaik penyanyi wanita tersebut.

Kontroversi itu menyebabkan Shila dan bapanya mengadakan sidang media di Mega Music World, Cheras pada 24 September 2014 untuk menjawab persoalan para wartawan hiburan mengenai gambar tersebut.

Terdahulu pada 31 Mac lalu bagi kes Shila Amzah menyaman akhbar Kosmo! penyanyi itu gagal dalam tuntutan samannya terhadap Maliah dan penerbit akhbar itu, Utusan Melayu (M) Berhad selepas mahkamah mendapati artikel disiarkan akhbar Kosmo!, yang mengaitkan konsert Shila empat tahun lalu ditaja sebuah syarikat judi tidak berniat jahat.

Mahkamah juga memerintahkan Shila membayar kos sebanyak RM20,000 kepada ketiga-tiga defendan iaitu Maliah, pengarang akhbar itu dan penerbit akhbar berkenaan.


Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.