Berita Terkini
recent

Seronok sertai Running Man

Kehadiran Jeon So Min, 31, sebagai anggota baru Running Man (RM) pada awalnya mendapat pelbagai reaksi daripada peminat program anekaragam berkenaan.

Malah dia turut dibandingkan dengan Ji Hyo yang lebih dahulu menjayakan RM. Bagaimanapun kini kehadirannya ternyata membantu meningkatkan lagi popularitinya.

Sikapnya yang selamba berjaya mencuit hati penonton hingga bilangan pengikutnya kini bertambah dan mengumpul peminat di serata dunia.

Ternyata So Min mempunyai daya tarikan tersendiri. Tidak hairan kehadirannya dalam rancangan berkenaan sejak April lalu diterima dengan hati terbuka oleh penyokong RM.

Pernah menjadi tetamu jemputan dalam RM, So Min tidak pernah terfikir untuk menjadi anggota tetap program itu tetapi apabila peluang diberikan, dia tidak mahu melepaskannya.

“Saya tidak pernah menyertai mana-mana rancangan anekaragam sebelum ini tetapi pernah menjadi tetamu jemputan RM. Apabila tawaran ini datang, saya terfikir kenapa tidak saya cuba.

“Saya rasa janggal pada mulanya kerana isu penyingkiran Kim Jong Kook dan Song Ji Hyo yang ketika itu masih diperkatakan, tiba-tiba pula muncul anggota baru iaitu saya dan Se Chan.

“Penyertaan kami dalam RM awalnya mendapat reaksi negatif. Apatah bagi mereka berenam sudah lama bersama-sama merasai turun naik program itu. Namun, sikap ramah mereka membuatkan saya cepat mesra dengan mereka,” katanya.

RM yang mula ditayangkan sejak Julai 2010, dianggotai Kim Jong Kook, Song Ji Hyo, Yoo Jae Suk, Haha, Lee Kwang Soo, Ji Suk Jin, Gary, Song Joong Ki dan Lizzy.

Kemudian tinggal berenam selepas Joong Ki, Gary dan Lizzy meninggalkan rancangan itu hinggalah produksi membuat keputusan untuk menambah dua lagi anggota RM iaitu So Min dan Se Chan.

Hubungan Ji Hyo dan So-Min kini umpama adik beradik. Malah peminat memberikan gelaran Mongdol kepada mereka. Namun, So Min tidak terlepas dari terus-menerus dibandingkan dengan Ji Hyo.

“Saya tidak dapat menandingi Ji Hyo. Dia sudah lama bersama RM dan penonton juga sudah terbiasa melihat dia menyelesaikan tugasan sebagai satu-satunya wanita dalam RM.

“Dalam apa cara sekali pun, Ji Hyo sudah memenangi hati penonton. Membandingkan saya dengan Ji Hyo adalah perkara yang membuatkan saya gementar. Saya masih baru. Masih banyak yang saya perlu belajar dan ketahui.

“Namun saya faham perbandingan itu dibuat kerana terlalu ramai yang menyayangi Ji Hyo. Mereka tidak mahu identiti Ji Hyo hilang kerana kehadiran anggota wanita baru. Saya tidak berkecil hati, itu hak mereka,” katanya.

Berikutan penerimaan penonton terhadap So Min serta menjadi perhatian seluruh dunia yang menonton RM, baru-baru ini dia ditawarkan membintangi drama Cross: Gift Of God.

Dia bakal berganding dengan dua pelakon lelaki, Go Kyung Pyo dan Kang In Gyu. Bagaimanapun So Min belum membuat sebarang keputusan sama ada menerima atau sebaliknya.

So Min akui ia adalah tawaran menarik tambah pula mereka menawarkannya memegang watak utama.

“Sebelum ini saya ada juga muncul sebagai cameo dalam My Secret Romance, The Bride of Habaek dan Single Wife.

“Ia sebenarnya peluang besar untuk saya terus membuktikan kemampuan lakonan saya. Bagaimanapun, saya masih berbincang dengan syarikat pengurusan mengenai perkara ini.

“Saya rasa tidak ada masalah untuk berlakon kerana Song Ji Hyo dan Lee Kwang Soo juga seorang pelakon, namun masih mampu memberi komitmen pada RM,” katanya.

So Min juga berterima kasih kepada semua pihak kerana penyertaannya sebagai anggota RM diterima baik. Tidak ada lagi komen negatif yang diterimanya. Malah tawaran berlakon juga semakin bertambah.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.