Berita Terkini
recent

Serah wakaf al-Quran

Wanita genit bermata bundar ini wajar digelar ‘Wonder Woman Malaysia’. Bukan kerana dia mempunyai kuasa sakti menyelamatkan dunia atau kemahiran bermain pedang menentang musuh.

Sebaliknya, Heliza Helmi, 31, layak diberi jolokan itu kerana kekuatan jiwa raga menjalankan pelbagai misi kemanusiaan di dalam dan luar negara.

Terbaru, selebriti dikenali melalui Akademi Fantasia Musim kelima (AF5) ini baru sahaja pulang dari misi kemanusiaan di beberapa lokasi pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh pada 27 sehingga 31 Oktober lalu.

Bercerita mengenai kembara barunya, Heliza berkata, antara lokasi dilawati adalah Teknaf (selatan Bangladesh) untuk menyampaikan bantuan segera seperti makanan.

Kemudian katanya, dia ke Balu Khali dan Kutu Palong untuk sampaikan bantuan makanan ruji bagi tujuan simpanan.

Menurutnya, rancangan awal mahu membina 20 telaga tiub tetapi bersyukur berjaya membina lebih daripada itu kerana jumlah sumbangan meningkat.

“Kami juga bantu membina bilik mandi, tandas dan menyediakan dua klinik bergerak termasuk ubat-ubatan, doktor pakar dan dua doktor perubatan.

“Selain itu, saya bersama lebih 20 anggota Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) turut menyerahkan wakaf al-Quran kepada mangsa pelarian.

“Makanan asas pula berupa beras, minyak masak, bawang, cili kering, garam dan keperluan asas kebersihan diri seperti sabun,” katanya.

Menurut Heliza, dia tidak menyangka diberi peluang menjalani misi ini dan sangat mensyukuri peluang diberi Allah.

“Sebenarnya sebelum ke sana, saya memang tidak tahu apa yang mereka lalui. Saya berdoa agar dapat merasai keadaan mereka contohnya ke Gaza agar dapat rasai seperti mana mereka lalui seterusnya dapat saya kongsikan kepada masyarakat,” katanya.

Ketika ke Gaza beberapa tahun lalu, katanya ia mengejutkan kerana dalam keadaan mangsa kehilangan keluarga, anak kecil jadi yatim piatu dan sebagainya, dia belajar banyak perkara.

Antaranya betapa kuat dan tabahnya mereka sebab percaya hari akhirat itu benar-benar wujud.

Katanya, mereka mempunyai pemikiran kuat mengenai akhirat, mereka reda dan bersyukur dengan setiap ujian yang menimpa.

“Apabila menjadi sukarelawan, baru saya sedar ujian yang kita lalui tidak setara dengan ujian mereka. Ia ibarat vitamin untuk saya. Selain dapat sampaikan bantuan, ia juga satu bentuk bantuan buat diri sendiri.

“Saya masih dalam proses pembelajaran dan banyak lagi perkara yang perlu diperbetulkan. Apabila hal berkaitan peduli ummah, ia sangat besar! Malah saya mahu utamakan misi untuk diri sendiri yakni peduli ummah,” katanya.

Tegas Heliza, dia tidak mengharapkan apa-apa kecuali mahu membantu mereka yang memerlukan. Tanpa berselindung, dia akui cabaran utama adalah untuk menghalang air mata daripada gugur saat melihat kepayahan dan ketabahan mangsa.

Berkongsi pengalaman ke kem pelarian Rohingya, Heliza bagai tiada kata-kata. Ditambah pula melihat kehidupan mereka bahagia dalam kekurangan.

Suaranya tersekat-sekat dek sebak tatkala berkongsi pengalaman kebanyakan pelarian mengalami pelbagai penyakit dan kecederaan yang parah.

Dia melihat sendiri seorang remaja berusia 14 tahun yang cedera ditembak terpaksa melalui proses pembedahan tanpa ubatan lengkap oleh doktor pakar yang menyertai misi kali ini.

Malah ada seorang lelaki berusia yang lumpuh separuh badan tetap gagahkan diri ke klinik bergerak yang dibina dengan khemah sementara.

Jauh dalam sudut hati pelantun lagu La Tahzan itu meronta-ronta ingin ke sana sekali lagi. Disokong pula dengan doa dan kata-kata semangat daripada penyumbang yang turut memberi pelbagai sumbangan tanpa henti, dia harap doanya itu diperkenankan sekali lagi.

“Ada yang tanya dari mana saya dapat kekuatan. Saya pernah dengar hadis Nabi yang bermaksud, sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain. Satu lagi hadis, tidak sempurna iman seseorang selagi tidak kasihi saudara kita seperti mengasihi diri sendiri.

“Memang saya tiada upaya atau kekuatan pun. Semuanya daripada Allah yang beri kekuatan itu dan Dia yang beri ruang. Mungkin berkat doa ibu bapa saya dapat kekuatan itu,” katanya.

Lebih bahagia apabila dapat melihat mangsa pelarian gembira dengan sumbangan makanan diberikan. Biarpun timbul rasa sebak, semuanya memberi makna dan dia mahu teruskan perjuangan ini sehingga diizinkan untuk syahid.

Seronok mengacara

Dalam diam, Heliza yang diberi peluang mengacara program SIS (TV9), Rasa Halal Antarabangsa (TV1), Salam Baitullah (TV1) dan banyak lagi sebelum ini, bersyukur diberi peluang itu sekali lagi.

Kali ini apabila mengacara program bual bicara santai 1 Pengguna 1 Suara yang bakal disiarkan di TV1, bermula 18 November ini di TV1.

Katanya, istimewa 1 Pengguna 1 Suara ialah sebelum ini mengacara program tidak perlu bersoal jawab dengan panel tetapi untuk program terbaru ini, dia bukan saja perlu ajukan soalan malah banyak ilmu baru berkaitan ilmu kepenggunaan yang diperolehi.

“Mujurlah program ini agak santai. Jadi, tidaklah terlalu kaku. Ia pengalaman baru buat saya. Saya juga tidak sendirian sebaliknya berpasangan dengan Luqman Hakim Malik,” katanya.

Program bual bicara itu adalah sebahagian daripada kempen anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Dalam perkembangan lain, Heliza baru saja muncul dengan single terbaru, Izinkanlah hasil ciptaan Erwan Muhibbain. Untuk lagu yang baru dilancarkan Ogos lalu, Heliza berduet bersama adiknya, Hazwani Helmi bersama Sofea Humairah dan Alya Yassin.

Pelakon Warkah Cinta ini juga tampil dengan single, Meriahnya Hari Raya, hasil kolaborasi dengan butik pakaian Elle Zada sempena sambutan Aidilfitri.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.