'Semuanya sekadar lakonan' - Nabila Razali

TIADA hubungan cinta yang wujud di antara dua pasangan pelakon meningkat naik, Nabila Razali dan Aedy Ashraf.

Tegas Nabila, kisah cinta yang tercipta hanyalah gimik untuk muzik video lagu terbarunya, Pematah Hati.

Malah, katanya, setiap status yang berkaitan dengan 'hubungan cinta mereka' yang dimuat naik melalui status di Instagramnya, adalah lakonan semata-mata.

"Saya sedar ramai peminat bertanyakan mengenai apa sebenarnya yang berlaku di antara saya dan Aedy. Jadi, saya harap dengan pelancaran muzik video ini, semua dah dijelaskan.

"Ini semua adalah lakonan dan gimik semata-mata,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video Pematah Hati di Red Box Plus, Pavilion, sebentar tadi.

Biarpun menyedari risiko yang bakal terjadi, penyanyi berusia 25 tahun ini bagaimanapun memandangnya daripada sudut positif.

Bahkan, Nabila mengakui kaedah itu sebagai jalan terbaik untuk memahami jalan cerita lagu tersebut.

"Itulah cabarannya, tapi sebagai artis baru, saya terimanya dengan hati terbuka," katanya.

Menerusi muzik video itu,  Aedy tampil sebagai kekasihnya.

"Saya rasa ramai yang pernah mengalami rasa patah hati dan saya yakin mereka juga boleh menjiwai lagu ini dengan baik.

"Lagu ini juga memberi semangat kepada wanita yang patah hati untuk meneruskan kehidupan mereka dengan lebih baik," katanya.

Sebelum ini, kecoh apabila Nabila memuat naik gambar mesra bersama Aedy dengan kapsyen romantis tanpa sebarang penjelasan lanjut.
'Semuanya sekadar lakonan' - Nabila Razali 'Semuanya sekadar lakonan' - Nabila Razali Reviewed by Kakigosip on 04:44:00 Rating: 5
Powered by Blogger.