Berita Terkini
recent

Semua juri puji 12 penyanyi GV4

Fantastik! Terbaik! Mengagumkan!

Itu antara pujian dua juri tetap Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Datuk Ramli MS  dan Hetty Koes Endang serta juri jemputan, Datuk Prof Chef Wan kepada 12 peserta untuk konsert minggu pertama.

Mereka yang ditemui selesai program berkenaan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil mengakui berpuas hati dengan kualiti persembahan kesemua peserta.

Menurut Ramli, persembahan yang ditunjukkan sesuai dengan status sebagai penghibur berpengalaman.

“Saya berpuas hati dengan vokal ke semua peserta sesuai dengan kualiti serta pengalaman mereka dalam industri. Jadi saya mahu lihat bagaimana persembahan mereka untuk minggu yang seterusnya,” ujarnya.

Persembahan minggu pertama dengan tema Masihkah Kau Ingat, menyaksikan Liza Hanim menyanyikan lagu Siapa sangka Siapa Menduga, Elyana (Tak Tercapai Akalmu), Syura (Nazam berkasih), Azura (Hati Terkunci), Haida (Zapin Usik Mengusik) dan Aishah (Janji Manismu).

Manakala Hazami membawakan lagu Mungkir Bahagia, Tia Jinbara (Farhana), Lan Kristal (Seragam Hitam), Aqasha (Embun), Firman (Kehilangan) dan Ferhad (Kasih berubah).

Dalam pada itu, penyanyi legenda dari Indonesia, Hetty, memuji program GV4 yang menampilkan peserta berkualiti untuk tontonan di rumah.

“Anak angkat saya di sini, Amir Mahmud bertanya jika berminat menjadi juri. Saya tanya siapa peserta yang terlibat. Soalan saya itu bukan merendahkan peserta tetapi bila jadi juri untuk mereka yang ada pengalaman, tidak perlu pening kepala lagi.

“Jadi tugas saya hanya perbetulkan nafas dan kesilapan mereka tapi kebanyakannya sudah tahu teknik dan hal berkaitan vokal. Saya kira ia seperti perkongsian pengalaman saya yang baru 48 tahun dengan mereka.

“Saya harap apa yang ditegur untuk minggu ini, dicatat dan diingati serta dijadikan panduan untuk minggu hadapan dan seterusnya,” ujarnya.

Program GV4 masih dikendalikan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Dalam pada itu anugerah Gelora Vida Vaganza iaitu kategori Lagu Paling Ingat telah menjadi milik Elyana.

Juara Gegar Vaganza musim keempat bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara.

Tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 berserta trofi.

GV4 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil,  setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Aishah teruja

Sementara itu, penyanyi berbakat besar, Aishah berkongsi rasa terujanya kerana berada di dalam GV4 dan berpeluang menyanyikan lagu penyanyi lain untuk minggu akan datang.

Katanya, dia juga melihat pentas GV4 sebagai platform menunjukkan kelainan dalam persembahan dan dia juga percaya peserta lain juga begitu.

“Kalau nak nyanyi lagu sendiri baik buat konsert. Saya percaya penonton dan saya sendiri pun nak lihat peserta yang terlibat mencuba genre lagu yang berbeza.

“Contoh Tia (Jinbara), kita dah biasa lihat dia nyanyi lagu rock, tapi untuk program ini kita mungkin akan lihat dia nyanyi lagu genre hip hop. Kalau saja-saja nak rakam, saya rasa orang tak boleh terima,” katanya.

Meskipun menduduki tangga pertama untuk minggu ini, Aishah berkata, dia tidak mahu memikirkan soal kedudukan setiap minggu dan mahu enjoy serta melakukan tugasan.

“Saya rasa itu benda (bebanan) yang tidak perlu difikirkan. Apa yang penting kita buat tugasan seperti diminta dan enjoy.

“Kalau nak fikir tentang bebanan dan keperluan untuk kekalkan kedudukan, ia akan mengganggu semua orang yang memikirkan,” katanya.

Bagaimanapun ujar Aishah, rasa gementar dan debaran itu masih dirasai biarpun sudah biasa melakukan persembahan.

Pengorbanan Firman

Dalam pada itu, wakil tunggal dari Indonesia, Firman mengakui terbeban kerana menjadi satu-satunya peserta bukan dari Malaysia yang bertanding dalam GV4 kali ini.

Bagaimanapun ia tidak menjadikan faktor itu sebagai penghalang buatnya beraksi di dalam program ini.


“Untuk program ini, saya perlu korbankan waktu show saya dari Jumaat hingga Ahad kerana saya akan berada di Kuala Lumpur dari Jumaat hingga Isnin.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana masih ada yang sudi menjemput saya menyanyi dari Selasa hingga Khamis.

“Saya anggap ini semua sebagai satu pengorbanan dan saya mampu lakukan yang terbaik setiap minggu,” ujarnya.

Bakal membawakan lagu Rindu Serindu-Rindunya nyanyian asal kumpulan Spoon, Firman berkata, dia bakal membawakan lagu tersebut mengikut versinya.

“Saya pernah merakamkan lagu ini sebelum ini dan saya mahu menyampaikan lagu mengikut versi saya.

“Lagipun saya mahu buktikan bahawa lagu Melayu walau dimodenkan tetap ada nilai dan kualiti,” jelasnya.

KEDUDUKAN PESERTA :

Aishah - Janji Manismu (96%)

Firman Siagian - Kehilangan (91%)

Hazami - Mungkir Bahagia (90%)

Liza Hanim - Siapa Sangka Siapa Menduga (87%)

Lan Kristal - Seragam Hitam (86%)

Tia Jinbara - Farhana (85%)

Elyana - Tak Tercapai Akalmu (85%)

Syura - Nazam Berkasih (82%)

Ferhad - Kasih Berubah (75%)

Aqasha - Embun (75%)

Haida - Zapin Usik Mengusik (72%)

Raja Azura - Hati Terkunci (68%)
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.