Berita Terkini
recent

Sedia bersemuka dengan Ayda

MENGAMBIL kira luahan penyanyi dan pelakon Ayda Jebat, 25, yang kecewa kerana lagu Mata nyanyiannya tidak dipilih bertanding ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32), pihak produksi Muzik Muzik bersedia membuka pintu perbincangan untuk memberi penjelasan yang diminta.

Pun begitu, khabarnya pihak Ayda pada awalnya ada meminta penjelasan mengenai permarkahan sebenar, namun pihak produksi dikatakan enggan memberi penjelasan sehinggalah isu itu tular.

Mengulasnya, Ketua Bahagian Hiburan Primeworks Studios, Muhammad Sufian Che Isa ketika dihubungi berkata kini pihaknya sedia bersemuka dengan Ayda bersama pengurusannya untuk memberi penjelasan bagaimana kriteria pemilihan lagu ke AJL dibuat.

"Pihak produksi sedia bertemu dengan Ayda dan pengurusannya untuk memberi penjelasan termasuk mengaturkan pertemuan dengan pihak juri.

"Ia bertujuan semoga dengan perbincangan dan pertemuan diatur itu nanti akan menemui penyelesaian yang jelas," katanya.

Muhammad Sufian berkata dia juga berharap Ayda tidak merajuk dan meminta maaf di atas apa yang sudah berlaku.

"Saya tidak nafikan Ayda seorang penyanyi berbakat. Apatah lagi, dia juga sangat komited terhadap karier seninya.

"Cuma, belum rezeki Ayda untuk bertanding di pentas AJL. Saya harap dia terus berusaha menghasilkan karya lagu terbaik pada masa akan datang," katanya.

Menurut Muhammad Sufian lagi, dia juga kagum dengan persembahan Ayda di persaingan Semi Final Muzik-Muzik 32 (SFMM32) lalu. Begitu juga, ketika menyaksikan persembahan penyanyi popular itu di Anugerah Skrin 2017 (ASK 2017) baru-baru ini.

Sehubungan itu, dalam sisipan RAP pada Rabu lalu dilaporkan Ayda mengakui dia kecewa apabila lagu Mata tidak dipilih layak bertanding ke AJL32.

Malah, Ayda meminta penjelasan juri untuk mengetahui apa kelemahan lagunya sebagai langkah memperbaiki kekurangan dalam karyanya pada masa akan datang.

Ayda juga sama sekali tidak mempertikaikan keputusan sudah dibuat oleh pihak juri yang memilih 12 lagu terbaik untuk dipertandingkan di AJL32.

Sementara itu, ketua juri, Datuk Mokhzani Ismail menjelaskan kriteria penilaian lagu dibuat merangkumi 40 peratus melodi, 20 peratus (lirik), 20 peratus (persembahan) dan 20 peratus (penerimaan khalayak/pendengar).

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.