Berita Terkini
recent

Saya bukan hanya penyanyi rock

Vokalis kumpulan Kristal, Razlan Mohamed Yosof tidak pernah berhenti berjuang dalam industri seni suara tanah air.

Dia giat berusaha mencari landasan baru untuk membantu dirinya terus kukuh di persada sebagai penyanyi.

Mencipta populariti dan kejayaan bersama Kristal, Lan berasakan kerjayanya semakin ‘suam’. Perhatian peminat kini lebih terarah kepada pendatang baru yang masih muda.

Bagaimanapun, Lan tidak menyalahkan keadaan semasa mahupun cemburu dengan penyanyi baru. Ia adalah perkara biasa yang akan berlaku pada pendatang baru.

Penyanyi lama sepertinya hanya ingin bertahan kerana ia adalah jiwa dan punca pendapatan mereka.

“Sedikit sebanyak saya berasa aura saya tidak sama seperti dulu. Itu lumrah dan adat resam dalam dunia seni. Sebagai penyanyi lama, saya berusaha untuk terus diterima dan kekal relevan.

“Normal penyanyi baru mendapat perhatian lebih kerana mereka mempunyai kualiti dan masih muda. Malah, mereka lebih aktif di media sosial dan berinteraksi dengan peminat.

“Tidak ada apa perlu dikecewakan kerana ia sebahagian daripada perjalanan seni. Saya sekadar ingin terus mempertahankan tapak untuk kekal relevan dalam industri,” katanya.

Menjadi salah seorang peserta pertandingan Gegar Vaganza 4 (GV4), Lan tidak meletakkan sebarang harapan tinggi.

Dia ingin menjadikan pentas itu sebagai penanda aras agar peminat dapat melihat dia juga mampu membawakan lagu genre lain.

Sebelum ini, Lan pernah menjadi penyanyi jemputan GV dari musim pertama hingga ketiga. Namun, kali ini agak berbeza kerana dia berentap dengan 11 peserta yang turut bertanding seperti Liza Hanim, Elyana, Ferhad, Aqasha dan Aisyah.

Katanya, sejak beberapa tahun lalu dia bercadang bergerak solo, namun ketika itu terikat dengan kontrak. Kini, lebih aktif untuk bergerak sendiri.

“Saya tidak membelakangkan Kristal, cuma ini projek solo. Sudah lama saya terfikir melakukan projek ini dan pembabitan sebagai peserta GV4 membuatkan perjalanan ke arah itu lebih lancar.

“Saya bersetuju menyertai GV4 kerana ingin mencuba nasib. Manalah tahu dapat membuka lebih banyak rezeki. Ia umpama penampilan semula saya tetapi bersendirian tanpa anggota kumpulan lain,” katanya.

Lan melihat GV4 landasan memperlihatkan sisi lainnya. Selama ini peminat melihat dia sebagai penyanyi rock, namun ada kelebihan lain masih belum ditunjukkan olehnya.

Melihat konsep pertandingan itu sendiri, Lan tertarik kerana lagu-lagu dinyanyikan peserta berlainan daripada genre didendangkan sebelum ini.

“Saya dikenali sebagai penyanyi rock tetapi menerusi pertandingan ini saya dapat pamerkan kebolehan menyanyikan lagu genre lain.

“Saya sedar cabaran bersama Kristal dan solo tidak sama. Peminat melihat saya sebagai anggota kumpulan itu dan akan terus sinonim dengan lagu rock,” katanya.

Tambah Lan, sepanjang bergelar penyanyi, dia kurang mendapat jemputan majlis korporat. Dia hanya dipanggil memeriahkan acara apabila bertemakan rock.

Bagaimanapun, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak melabelkan dia sebagai penyanyi rock kerana awal pembabitannya menyanyikan lagu genre itu.

“Apabila dilabel sebagai penyanyi rock, jemputan saya terima agak terhad. Hanya apabila ada acara bertemakan rock barulah kami dipanggil.

“Namun, saya tidak salahkan mereka kerana sejak awal pembabitan pun Kristal memang menyanyikan lagu genre rock.

“Apa yang saya harapkan, penyertaan dalam GV4 menunjukkan sisi saya yang lain. Saya juga boleh menjadi penyanyi yang serba boleh,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.