Berita Terkini
recent

'Sado' tanpa bakat tak ke mana...

Kemunculan pelakon lelaki berbadan sasa atau ‘sado’ sudah menjadi satu trend.

Kebanyakan mereka berlumba-lumba untuk mendapatkan bentuk tubuh menarik.

Perkara itu membuatkan syarikat produksi rambang mata memilih calon sesuai untuk dijadikan hero dalam karya terbitan mereka.

Apatah lagi, sejak kebelakangan ini penampilan seseorang pelakon itu menjadi sandaran utama sehingga mengetepikan bakat yang ada.

Sejauh mana kebenarannya, program Cuit Sikit yang ditayangkan secara langsung di Facebook Harian Metro (HM) malam kelmarin terpanggil untuk membicarakan isu itu menerusi topik Sado Merecik.

Menampilkan dua pelakon popular, Aaron Aziz dan Idris Khan dianggap calon sesuai untuk membicarakan topik itu.

Bagi Aaron yang popular menerusi filem KL Gangster, dia tetap berpegang pada prinsip iaitu bakat perlu diutamakan.

Aaron jelas tidak bersetuju sekiranya bentuk tubuh dimiliki menjadi sebab dia dipilih membintangi sesebuah karya.

“Tidak dinafikan penampilan seseorang pelakon menjadi daya penarik dalam sesebuah karya. Malah, apabila bercakap mengenai hero, apa yang terlintas di fikiran adalah pelakon berkenaan perlu memiliki badan ‘sado’.

“Saya okey dengan persepsi sedemikian. Cuma, saya tetap dengan pendirian bakat juga memainkan peranan penting. Kata orang, seseorang pelakon perlu hadir dengan pakej. Kalau dia ‘sado’ tapi berlakon kaku, tidak guna juga dan penonton tetap mengata.

“Jadi, apa yang penting adalah bakat seseorang. Bagi saya, memiliki badan ‘sado’ satu bonus. Memang betul peminat sukakan sesuatu yang menarik, tapi sampai bila? Akhirnya nanti ia tetap memberikan persepsi sebaliknya,” katanya.

Pada masa sama, Aaron juga mengakui dia tidak pernah terfikir artis yang memilik badan ‘sado’ dijadikan simbol seks.

“Saya tidak faham kenapa ada yang beranggapan sebegitu seolah-olah kami masuk industri kerana perkara ini. Bagi saya, tak ada siapa yang ingin dilabel sedemikian. Jadi, saya fikir masyarakat kita belum sampai tahap ini,” katanya.

Sependapat dengan Aaron, Idris juga menepis tanggapan segelintir pihak artis berbadan sado ini dijadikan umpan untuk menarik perhatian.

Malah, Idris yang juga pelakon drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin ini mengakui terkejut apabila diminati kaum sejenis hanya kerana bentuk badan dimiliki.

“Dalam perkara ini, ia jatuh kepada pilihan dan keinginan masing-masing. Tidak dinafikan ada yang suka melihat lakonan dan tidak kurang juga yang memuja ketampanan atau penampilan pelakon berkenaan.

“Sebagai selebriti, kami berdepan dengan ramai orang. Baik peminat lelaki atau perempuan, masing-masing ada cita rasa. Jadi, kita tidak tahu minat mereka cenderung ke arah mana. Jadi, saya fikir apabila dijadikan simbol seks sesuatu yang di luar kotak fikiran,” katanya.

Idris juga mempunyai pendapat tersendiri apabila ada segelintir pihak beranggapan memiliki badan sado susah untuk memainkan sesuatu watak.

“Dalam perkara ini ia terpulang kepada skrip. Sebagai contoh, kalau skrip inginkan pembuat jalan badan sado, jadi tak ada masalah jika pelakonnya pun berbadan sado. Namun, sekiranya cerita dipaparkan berkisar mengenai kepayahan watak berkenaan, penerbit perlu ada pilihan lain.

“Tidak semestinya semua watak memerlukan pelakon badan sado. Macam saya katakan tadi, ia berbalik kepada skrip. Malah, tidak semestinya nak jadi pelakon utama atau hero perlu berbadan sado,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.