Berita Terkini
recent

Ringgit susut, harga minyak jadi punca

PENYUSUTAN nilai ringgit dan kenaikan harga minyak petrol menjadi dua faktor utama menyebabkan peniaga di negara ini terus tertekan dengan peningkatan kos sehingga hari ini.

Bagi golongan peniaga, mereka beranggapan bebanan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu masih kecil, jika dibandingkan dengan kedua-dua faktor berkenaan.

Tinjauan China Press terhadap golongan peniaga mendapati, akibat kejatuhan nilai ringgit, kos operasi perniagaan mereka telah meningkat antara 10 hingga 20 peratus.

Prestasi perniagaan menjadi lebih teruk apabila kuasa membeli oleh pengguna semakin lesu setelah kos sara hidup naik secara mendadak, lebih-lebih lagi kenaikan harga petrol.

Menurut Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia, Hong Chee Meng, peniaga terpaksa menaikkan harga barangan akibat penyusutan nilai ringgit.

"Bagi peniaga yang terbabit dalam penjualan barangan import, sudah tentu mereka akan terbabit secara langsung dengan faktor penyusutan nilai ringgit.

"Untuk meneruskan perniagaan, peniaga perlulah sentiasa bersiap sedia dengan apa juga keadaan.

"Walaupun dipengaruhi peningkatan kos, tetapi saya percaya prestasi perniagaan mereka tidak akan terjejas sekiranya mereka sedia menawarkan perkhidmatan yang lebih cekap dan baik," kata Chee Meng.

Sementara itu, Presiden Kebangsaan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, Michael Kang Hua Keong pula mengakui, pelaksanaan GST tidak memberikan impak terlalu besar kepada perniagaan yang dijalankan oleh usahawan kecil dan sederhana.

"Bagaimanapun, apa yang perlu dilakukan usahawan ini ialah mengubah modul perniagaan dan mematuhi segala peraturan mengenai GST yang ditetapkan kerajaan," katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.